JOHOR BAHRU, 15 Okt (Bernama) -- Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah menerusi tiga serbuan di sekitar bandar raya ini, melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 37.62 kilogram (kg) bernilai RM5.33 juta, minggu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata operasi pada 10 dan 11 Okt hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor, juga menahan empat lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 54 tahun.
“Serbuan pertama di sebuah pangsapuri di Taman Delima menahan dua lelaki dan merampas 10 kg serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), pil ekstasi (dua kg), serbuk ekstasi (735 gram), syabu (110 gram), pil Erimin 5 (60 gram) dan pelbagai peralatan memproses dadah.
“Serbuan kedua di tepi jalan kawasan Taman Sri Tebrau menahan seorang lelaki dan merampas 1.44 gram syabu.
“Seorang lagi ditahan di sebuah pangsapuri di Jalan Larkin bersama-sama serbuk MDMA (15.31 kg), serbuk ekstasi (3.46 kg), pil ekstasi (3.49 kg), ketamin (1.72 kg), pil Erimin 5 (430 gram), ganja (260 gram) dan syabu (38 gram),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata polis menyita Mazda CX-5, Toyota Vios dan Perodua Bezza serta pelbagai barangan kemas di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan RM5.45 juta.
Beliau berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak Mac lepas dan menyewa pangsapuri berpagar serta dikawal rapi sebagai tempat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan khususnya di kelab malam.
“Jumlah keseluruhan dadah dirampas mampu menjejaskan kira-kira 115,948 individu,” katanya.
Beliau berkata ujian air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine, selain dua daripada mereka mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.
Semua suspek direman sehingga 17 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial