AM

Fahmi Lancar NOW Peringkat Sabah Di NADI Sindumin

15/10/2025 01:11 PM

SINDUMIN, 15 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini melancarkan NADI on Wheels (NOW) peringkat Negeri Sabah sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Sindumin di sini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan bahawa inisiatif itu merupakan komitmen kerajaan dalam memperluas keterhubungan serta memperkasakan komuniti luar bandar agar tidak tercicir daripada arus kemajuan negara selaras dengan semangat NADI untuk membawa kemajuan, ilmu dan keterhubungan ke setiap pelosok tanah air.

“NOW merupakan pusat bergerak yang direka untuk membawa kemudahan teknologi dan perkhidmatan berasaskan komuniti terus kepada rakyat khususnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai... kenderaan ini dilengkapi satelit Starlink berkelajuan hingga 250 MBps (megabait sesaat), komputer riba, tablet, projektor, tenaga solar mudah alih serta sistem Wi-Fi percuma. 

“NOW turut menyediakan ruang interaktif bagi pelaksanaan aktiviti latihan, pembelajaran komuniti dan program Perkhidmatan Pintar NADI... melalui inisiatif ini, NOW berupaya menyantuni rumah anak yatim, golongan orang kurang upaya, masyarakat Orang Asli serta komuniti terpencil agar mereka juga dapat menikmati kemajuan teknologi,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan bahawa usaha meningkatkan capaian Internet itu turut dibuktikan melalui kejayaan NADI Pulau Banggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila memenangi Kategori Pembinaan Kapasiti di Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Masyarakat Bermaklumat 2025 di Geneva. 

Menurut MCMC, pengiktirafan itu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang proaktif dalam memperkasakan komuniti melalui teknologi digital.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Pengerusi Panel Penasihat NADI akan dilantik bagi Parlimen Sipitang dan Beaufort yang akan memantau operasi, menyalurkan pandangan strategik dan memastikan pelaksanaan NADI terus memberikan manfaat kepada komuniti setempat.

Menurut kenyataan itu, HBK di NADI Sindumin turut dimeriahkan dengan pameran keusahawanan komuniti, program kesedaran digital dan pemeriksaan kesihatan percuma. 

“Program ini mendapat kerjasama strategik daripada PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), MyFutureJobs dan Akademi Kenegaraan Malaysia yang turut menjayakan segmen bimbingan kerjaya dan kesejahteraan komuniti.

“Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan kemahiran, ilmu dan sosioekonomi komuniti luar bandar, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memastikan semua lapisan masyarakat menikmati peluang yang sama dalam memperkukuh taraf hidup serta kesejahteraan melalui akses kepada teknologi dan maklumat,” menurut MCMC.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Arul Rajoo Durar Raj dan Pegawai Daerah Sipitang Karim A.M Zahari.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan