AM

SD Guthrie Tawar 948 Penempatan Melalui Program Perintegrasian Semula Banduan

15/10/2025 10:42 AM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- SD Guthrie Berhad (Guthrie) mengumumkan sebanyak 948 penempatan kerja di ladang sawit miliknya di seluruh negara di bawah program perintegrasian semula banduan.

Inisiatif itu adalah yang terbesar pernah dilaksanakan oleh syarikat perladangan di Malaysia sejak Jabatan Penjara (JPM) memperkenal program Latihan Pintar Korporat (CSI) pada 2016.

Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata program CSI membantu banduan yang dibebaskan awal untuk berintegrasi semula ke dalam masyarakat melalui latihan sambil bekerja dan penempatan kerja dengan sektor swasta.

"Ini bukan sekadar program yang menyediakan pekerjaan; ia adalah peluang untuk peserta membina semula kehidupan, memulihkan harapan dan maruah mereka, sambil menyumbang kepada kehidupan masyarakat yang lebih selamat dan inklusif.

"Sejarah masa lalu bukan ukuran nilai seseorang individu, tetapi jauh lebih penting adalah sumbangan yang boleh mereka lakukan untuk membina masa depan yang lebih bermakna. Guthrie berbangga membantu para peserta program ini menyumbang secara positif kepada masyarakat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerjasama Guthrie dengan JPM bermula sejak 2019 dan menyasarkan dua kumpulan individu iaitu Orang Diparol dan Orang Bebas Berlesen.

Mohamad Helmy berkata Guthrie menyasarkan lebih 450 individu dari setiap kategori bagi mengisi kekosongan kerja sedia ada dan pada tahun ini, 131 orang telah menyertai tenaga kerja syarikat perladangan itu di bawah program berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 152 orang.

Sejak 2019, Guthrie telah merekrut 761 peserta dan 15 daripada mereka diserap menjadi pekerja tetap dalam operasi huluan syarikat itu, dengan peserta program ditempatkan di 93 estet di Perak, Kedah, Selangor, Pahang, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah serta Sarawak.

Beliau juga berkata Guthrie turut menawarkan latihan sambil bekerja, bimbingan dan penyeliaan berstruktur kepada peserta selain faedah yang setaraf dengan pekerja lain termasuk gaji minimum, perumahan percuma, bekalan air serta subsidi elektrik seperti ditetapkan di bawah Akta Pekerjaan.

“Program ini dijangka membantu mengurangkan kadar ulang laku jenayah dalam kalangan bekas banduan,” katanya. 

Guthrie merupakan antara sebilangan kecil syarikat perladangan di Malaysia yang melaksanakan program itu dalam skala besar sekali gus mengukuhkan kepimpinannya dalam amalan pekerjaan yang bertanggungjawab dan usaha-usaha rehabilitasi nasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan