AM

Reformasi Kewangan, Ketahanan Iklim Penting Untuk Capai AIR2040 - TPM Fadillah

14/10/2025 11:45 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan reformasi kewangan segera dan pengukuhan daya tahan terhadap perubahan iklim dalam sektor air negara amat penting bagi mencapai matlamat agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata cabaran semasa seperti kekangan kewangan, peningkatan permintaan daripada sektor bandar dan industri serta impak perubahan iklim perlu menjadi pemangkin kepada inovasi, reformasi dan kerjasama yang lebih kukuh merentasi sektor itu.

Beliau berkata reformasi kewangan perlu menjadi keutamaan negara, sambil menggesa supaya rangka kerja pembiayaan yang adil dan mampan diwujudkan bagi mengimbangi kemampuan rakyat dengan keupayaan kewangan penyedia perkhidmatan.

“Tarif perlu mencerminkan kos sebenar bekalan, di samping memastikan golongan rentan dilindungi melalui mekanisme sokongan yang telus dan bersasar.

“Hanya menerusi kestabilan kewangan, syarikat utiliti boleh melabur semula, berinovasi dan membangunkan sektor air yang mampu memenuhi permintaan masa depan,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Persatuan Air Malaysia (MWA) ke-37 di sini malam ini.

Fadillah berkata kemajuan Malaysia sebagai kuasa digital dan industri telah mendorong peningkatan permintaan air daripada isi rumah serta sektor tenaga intensif.

Untuk menguruskan hal itu, beliau menggesa agar pendekatan bersepadu dan berasaskan data diguna pakai bagi menghubungkan perancangan air dengan pembangunan industri, reka bentuk bandar serta perlindungan alam sekitar.

“Strategi utama meliputi ramalan permintaan yang kukuh, penggunaan air secara cekap dan kepelbagaian sumber bekalan menerusi kitar semula air, penuaian air hujan, penyahmasinan dan pengurusan air bawah tanah," katanya.

Bagi menangani tekanan iklim dan alam sekitar yang semakin meningkat, Fadillah berkata Malaysia kini sudah mengalami corak hujan yang tidak menentu, kemarau yang panjang serta banjir yang kerap berlaku yang mengganggu sistem bekalan dan kehidupan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa agar pelaburan dalam ketahanan iklim dipertingkatkan, termasuk melindungi kawasan tadahan air, pemodenan infrastruktur untuk menghadapi cuaca melampau, pengurangan kehilangan air tidak terhasil (NRW) serta mengamalkan penggunaan semula dan kitar semula air.

"Usaha-usaha ini perlu disokong dengan mengintegrasikan pemeliharaan alam sekitar serta sistem amaran awal di setiap peringkat perancangan,” katanya.

Fadillah berkata kejayaan AIR2040 tidak hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan ekosistem kerjasama yang luas melibatkan pihak pengawal selia, utiliti, akademia dan pemain industri.

"Kerajaan menerusi PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) kekal komited untuk menyediakan hala tuju dasar yang jelas serta menyokong kolaborasi dengan kerajaan negeri dan agensi di seluruh negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Presiden MWA Mohamad Hairi Basri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan