KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) mengambil langkah proaktif memperkukuh ekosistem wakaf negara menerusi Majlis Penyerahan Surat Hasrat Kerjasama (LoI) bersama tujuh rakan industri.
Menurut YWM, kerjasama berkenaan dijangka membuka dimensi baharu dalam pengurusan wakaf yang berimpak tinggi, meliputi sektor kesihatan, pendidikan, sosial, dan teknologi digital.
“Kerjasama strategik ini bertujuan memperluas pelaksanaan projek wakaf secara holistik dan mampan, selaras dengan Pelan Transformasi Al-Falah dan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan serta nilai ihsan dalam masyarakat.
“Kolaborasi ini bakal membuka ruang dan potensi kepada pelbagai inovasi sosial berasaskan wakaf yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” menurut kenyataan YWM hari ini.
Tujuh rakan industri yang terlibat ialah Highfield Healthcare Sdn Bhd yang akan membangunkan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf (Semenyih Specialist Hospital) dengan mengintegrasikan aspek fizikal, mental dan spiritual.
Selain itu, Pahang Gold Sdn Bhd akan membangunkan platform infaq dan wakaf emas bagi memberi peluang kepada masyarakat beramal melalui aset emas manakala Sedania As Salam Capital (SASC) akan menggunakan platform teknologi digital untuk meningkatkan dana wakaf dan infaq melalui produk kewangan Islam.
Rakan lain termasuk Emaan Catalyst Community (ECC) yang melaksanakan projek wakaf berasaskan pembangunan komuniti dan perusahaan sosial, serta Lokalities Group Sdn Bhd yang bekerjasama dalam penyediaan dan pengagihan makanan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YWM seperti Program Infaq Sabil di Mekah.
Sekretariat Infaq Nasional (SINA) pula akan melaksanakan Program Infaq Nasional dengan kutipan dana infaq bulanan minimum RM10 untuk kebajikan masyarakat manakala Kowabunga! Global Pte Ltd menjalin kerjasama dalam sektor pendidikan berasaskan pendekatan Values First yang menekankan pembangunan karakter dan sahsiah pelajar.
“YWM amat menghargai usaha dan komitmen semua rakan industri dalam menjayakan agenda pemerkasaan wakaf di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kerjasama berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam memperluas potensi inovasi sosial berasaskan wakaf serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat secara inklusif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial