JOHOR BAHRU, 14 Okt (Bernama) -- Pasukan remaja negara akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung selepas mengatasi New Zealand 4-2 pada aksi ketiga Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam ini.
Pada aksi suku pertama malam ini, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan jaringan dengan para pemain dilihat masih bergelut mencari rentak permainan.
Namun, apabila suku kedua bersambung, P. Naaveenesh muncul wira negara apabila berjaya meledak gol pada minit ke-16 sebelum cemerlang menambah satu lagi jaringan pada minit ke-19.
Tidak sampai seminit kemudian, skuad Young Tigers terus melebarkan kelebihan gol apabila Ammar Qusyairi Abd Halim pula menambah jaringan ketiga, juga menerusi gol padang.
Gol yang diburu pasukan kendalian Mike Delaney akhirnya menjelma pada suku ketiga hasil jaringan Javahn Jones menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44.
Memasuki suku terakhir, pasukan remaja Malaysia tersentak apabila skuad ‘The Black Sticks’ merapatkan jurang pada minit ke-47 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Rocco Ludolph.
Ketika aksi berbaki tiga minit, lawan bermain power play (tanpa penjaga gol dengan memasukkan pemain lain) dan percaturan itu sebaliknya menghadiahkan Malaysia gol keempat yang diperoleh menerusi jaringan padang Muhammad Danish Irfan Muhammad Saufi pada minit ke-57.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Nor Saiful Zaini Nasiruddin berpuas hati dengan prestasi anak buahnya, namun menegaskan masih banyak aspek yang perlu diperbaiki menjelang pertemuan menentang Great Britain esok.
“Kita telah merancang permainan dengan baik dan berjaya melaksanakannya. Pemain cepat belajar, tetapi ada perkara yang berlaku di luar jangkaan seperti saat kita mendahului 3-0, New Zealand cuba bangkit dengan dua jaringan, jadi menunjukkan masih banyak yang perlu kita pelajari.
“Pemain perlu tahu bagaimana untuk mengawal permainan apabila sedang mendahului, bertenang, mencari gol tambahan dan mengunci permainan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kelemahan di bahagian pertahanan, beliau mengakui masih ada ruang penambahbaikan walaupun pasukan menunjukkan prestasi positif secara keseluruhan.
“Pada suku keempat, pertahanan kita masih longgar. Bukan pertahanan saja, tetapi keseluruhan corak permainan perlu diperbaiki. Kesilapan bukan datang daripada seorang pemain, tetapi pasukan secara keseluruhan.
“Kita akan menilai semula rakaman perlawanan bagi memperbaiki kelemahan menjelang aksi penting esok. Great Britain pasukan yang baik dan pasti sudah lihat kelemahan kita. Kita akan kaji taktikal mereka dan perbaiki apa yang perlu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial