AM

Ketegangan Geopolitik Antara Faktor Pelajar Antarabangsa Pilih Malaysia - Zambry

14/10/2025 06:07 PM

MELAKA, 14 Okt (Bernama) -- Ketegangan geopolitik menjadi antara faktor mengapa Malaysia menjadi pilihan ramai pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian terutama di peringkat pascasiswazah.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kualiti pendidikan ditawarkan Malaysia juga menjadi antara faktor penarik bagi pelajar antarabangsa.

“Dengan perkembangan geopolitik dunia yang berlaku pada hari ini, mereka memilih untuk datang ke sebelah Asia dan khususnya, mereka memilih beberapa negara yang mempunyai kualiti pendidikan yang tinggi.

“Maka Malaysia adalah antara negara yang dipilih, sebab itulah kita dapat melihat bagaimana saban tahun akan ada pertambahan permohonan (daripada pelajar antarabangsa) untuk belajar di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Meet and Greet with International Students in Malaysia 2025 (MAGNET 2025) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin.

Kira-kira 1,000 mahasiswa antarabangsa daripada 20 Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menyertai program berkenaan.

Dalam pada itu, Zambry sekali lagi menegaskan kuota bagi mahasiswa tempatan untuk masuk ke mana-mana universiti dalam negara tidak akan dikorbankan walaupun kementeriannya menyasarkan kira-kira 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030.

Beliau berkata terdapat kira-kira 155,000 pelajar antarabangsa sedang menyambung pengajian mereka dalam pelbagai bidang ketika ini.

“Saya ingin tegaskan kita tidak akan korbankan kualiti (pendidikan) kita dan kita tidak akan korbankan sama sekali pelajar-pelajar tempatan kita (untuk mendapat tempat di universiti tempatan),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan