AM

Pelajar Maut Ditikam: Ibu Bapa Mohon Tindakan Pihak Sekolah Elak Kejadian Berulang

14/10/2025 05:44 PM

PETALING JAYA, 14 Okt (Bernama) -- Kejadian pelajar perempuan maut ditikam di sebuah sekolah menengah di sini, hari ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai tahap keselamatan anak-anak mereka di sekolah.

Johari Hashim, 58, yang mempunyai dua anak lelaki kembar yang belajar di tingkatan dua, di sekolah terlibat menyifatkan insiden itu sebagai amat mengejutkan.

Beliau berkata kejadian jenayah melibatkan penggunaan senjata dalam kalangan pelajar juga adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

"Saya amat terkejut dengan kejadian ini. Zaman saya dahulu, paling teruk pun hanya bergaduh dan bertumbuk, tidak pernah terfikir sampai menikam atau menggunakan senjata," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau yang menetap di Damansara Perdana berkata pihak sekolah diharap mengambil tindakan susulan yang lebih serius bagi memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin pada masa hadapan.

Seorang lagi bapa kepada pelajar di sekolah berkenaan yang enggan dikenali turut berharap tindakan dilakukan pihak sekolah agar kejadian seperti itu tidak berulang.

“Saya mengetahui kejadian ketika sampai di sekolah untuk menghantar makanan kepada anak saya dan melihat pelajar diminta meninggalkan sekolah. Anak perempuan saya juga risau selepas kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar tingkatan satu di sekolah berkenaan mendakwa berhadapan situasi cemas apabila suspek kes itu memasuki kelasnya sejurus selepas kejadian.

Menurut pelajar yang enggan dikenali itu, suspek yang merupakan pelajar kelas peralihan itu hanya memasuki kelasnya dalam tempoh singkat dan tidak mengacukan senjata kepada sesiapa sebelum beredar dari kelas tersebut.

“Saya berdebar dan takut apabila pelajar lelaki itu masuk ke kelas kami dengan memegang senjata itu, tetapi dia tidak melakukan apa-apa dan hanya terus pergi ke tempat lain,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi tadi, seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut disyaki ditikam seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah manakala suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah berjaya ditahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan