DUNIA

Malaysia, Kemboja Perkukuh Kerjasama Bidang Pendidikan, Pelaburan Dan Ekonomi Digital

14/10/2025 05:35 PM

PUTRAJAYA,  14 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Kemboja bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pertanian, ekonomi digital dan pelancongan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara berkenaan dipersetujui pada sesi perbincangan bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Presiden Senat yang juga bekas Perdana Menteri Kemboja Hun Sen di Kemboja. 

Pada sesi yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-13 dan Persidangan ke-14 Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER), Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Kemboja atas sokongan dan bantuan diberikan kepada pelabur Malaysia.

“Syarikat-syarikat Malaysia telah melabur secara signifikan dalam sektor utama seperti telekomunikasi, perbankan dan pembuatan, sekali gus menyumbang bukan sahaja kepada perdagangan dua hala tetapi juga kepada pertumbuhan dan kesejahteraan ekonomi domestik Kemboja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perdagangan antara Malaysia dan Kemboja terus berkembang pesat, mencecah hampir US$750 juta dari Januari hingga Ogos tahun ini, iaitu peningkatan 45 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. 

-- LAGI

 

AHMAD ZAHID-KEMBOJA (KERJASAMA) 2 PUTRAJAYA

 

“Kedua-dua pihak yakin nilai perdagangan dua hala akan melebihi US$1 bilion menjelang 2026. 

“Malaysia kekal sebagai antara pelabur utama di Kemboja, dan kami berhasrat memperluas kerjasama dalam ketersambungan digital, tenaga boleh diperbaharui dan industri agromakanan,” katanya sambil menambah Malaysia dan Kemboja turut meneroka bidang baharu kerjasama, khususnya dalam industri halal.

Ahmad Zahid berkata Malaysia boleh berkongsi pengalaman, kepakaran pensijilan, pembangunan Taman Industri Halal dan amalan terbaik untuk membantu Kemboja membangunkan ekosistem halal yang kukuh dan diyakini dalam kerangka pewujudan Majlis Halal ASEAN.

Dalam aspek tenaga kerja dan pendidikan, beliau berkata Malaysia akan terus memastikan kebajikan pekerja Kemboja terpelihara di samping memperluas peluang tenaga pengajar dan pensyarah Kemboja di Malaysia khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperkukuh perdagangan pertanian, khususnya dalam minyak sawit dan beras, bagi mempertingkatkan sektor keselamatan makanan serantau dan kami turut membincangkan usaha memperluas kerjasama dalam bidang kesihatan dan pelancongan perubatan, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

-- LAGI

 

AHMAD ZAHID-KEMBOJA (KERJASAMA) 3 (AKHIR) PUTRAJAYA

 

Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Kemboja turut menegaskan aspirasi bersama untuk memupuk keamanan dan kestabilan serantau dengan menyambut baik kemajuan dalam memuktamadkan penubuhan Pasukan Operasi ASEAN (AOT).

Pasukan Operasi ASEAN adalah satu mekanisme serantau bagi memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur akan datang.

“ASEAN yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memainkan peranan penting dalam memudah cara pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand. 

“Penubuhan AOT akan menjadi mekanisme utama bagi memastikan perjanjian gencatan senjata dilaksanakan seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara,” katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Kemboja dan negara anggota lain bagi memperkukuh perpaduan, kredibiliti dan peranan utama ASEAN dalam mempromosikan keamanan serta kerjasama kemanusiaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan