JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Sarawak Tumpaskan Aktiviti Penyeludupan, Rampasan RM15.6 Juta

14/10/2025 03:03 PM

KUCHING, 14 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatat 27 kejayaan menerusi Op Taring yang dijalankan dari 27 Sept hingga 13 Okt lepas dengan nilai keseluruhan rampasan RM15.6 juta.

Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata operasi di seluruh negeri itu berjaya mengekang penyeludupan rokok, minuman keras, barangan kawalan, produk sejuk beku, kayu bergergaji serta pengedaran wang palsu di kawasan sempadan dan bandar utama.

“Kejayaan-kejayaan ini menunjukkan kecekapan tindakan taktikal pasukan risikan serta keupayaan anggota di lapangan yang berperanan bukan sahaja mengesan dan menumpaskan aktiviti penyeludupan, malah turut berjaya menahan individu terlibat serta merampas pelbagai kenderaan yang digunakan bagi tujuan jenayah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lim berkata kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, Ordinan Perhutanan 2015, Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 489C Kanun Keseksaan (Wang Palsu).

Tambahnya, sepanjang pelaksanaan Op Taring bermula 1 Jan hingga semalam, PGA telah mencatatkan 484 kes dengan nilai rampasan RM377.7 juta, melibatkan 575 tangkapan termasuk 446 warga tempatan dan 129 warga asing serta 306 kenderaan pelbagai jenis.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan