JENAYAH & MAHKAMAH

Briged Tengah PGA Catat Rampasan Lebih RM1.12 Bilion Setakat 13 Okt

14/10/2025 11:13 AM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat kejayaan luar biasa dengan merekodkan rampasan bernilai lebih RM1.12 bilion setakat 13 Okt tahun ini, hasil pelbagai operasi membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari, berkata nilai rampasan itu melibatkan pelbagai barangan termasuk sisa elektronik (e-waste), arak, rokok, minyak sawit, mercun serta hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).

“Jumlah rampasan keseluruhan setakat ini ialah RM1,129,600,000, dengan nilai tertinggi direkodkan oleh Ibu Pejabat Briged Tengah PGA iaitu RM465.2 juta,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata nilai rampasan turut dicatat oleh Batalion 5 (RM305.3 juta), Batalion 6 (RM150.6 juta), Batalion 19 (RM116.9 juta) dan Batalion 4 (RM91.6 juta).

Selain itu, Hakemal berkata tindakan penguatkuasaan berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) dengan 774 individu ditahan, melibatkan warganegara Myanmar (77 orang), Bangladesh (66), Indonesia (628) dan Nepal (tiga).

Sejumlah 26 kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) direkodkan, membabitkan penahanan 37 individu termasuk 10 warga tempatan, 24 warga Indonesia dan tiga warga Bangladesh.

Mengulas lanjut, Hakemal berkata kegiatan penyeludupan migran itu melibatkan pelbagai peranan seperti tekong darat, tekong laut dan ejen penggerak utama kemasukan PATI ke negara ini.

“Kebanjiran pendatang tanpa izin boleh memberi impak besar terhadap aspek sosial, ekonomi, keselamatan, kesihatan dan juga kestabilan politik negara.

“Justeru, orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan haram ini,” katanya.

Beliau berkata antara akta yang digunakan dalam tindakan penguatkuasaan berkenaan termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Imigresen 1959/63, Akta Bahan Letupan 1957, Akta Barang Lusuh 1946, Akta ATIPSOM 2007, Akta Senjata 1960 dan Akta Lembaga Minyak Sawit 1998.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan