KUALA SELANGOR, 13 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa, beliau dimaklumkan mengenai penemuan sepucuk pistol di dalam sebuah beg galas berwarna hitam ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, di sini pada 29 Mac tahun lepas.
Inspektor Wan Ibrahim Rosli yang merupakan pegawai serbuan bertugas di Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ketika kejadian, berkata beliau dimaklumkan oleh ASP Khairulazizi Ismail berhubung penemuan senjata api itu selepas pemeriksaan dijalankan dalam bonet belakang kenderaan jenis Honda Jazz berwarna putih, di luar rumah berkenaan.
Wan Ibrahim, 34, berkata sebelum itu beliau bersama sepasukan anggota dari Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, diketuai Khairulazizi telah diarahkan untuk membuat tangkapan terhadap seorang lelaki iaitu Abdul Azim Mohd Yasin yang merupakan suami tertuduh iaitu Sharifah Faraha Syed Husin, 42, di Kuala Selangor.
Beliau berkata setelah tangkapan dilakukan, mereka dipandu arah Abdul Azim bergerak ke sebuah rumah di daerah sama untuk pemeriksaan lanjut dilakukan, dengan Sharifah Faraha turut mengikuti di belakang menaiki kereta Honda itu dan ditemani anggota bertugas.
“(Sampai ke rumah) saya bersama dengan Abdul Azim telah masuk ke dalam rumah, manakala ASP Khairul Azizi bersama Sharifah (Syarifah Faraha) membuat pemeriksaan di luar (rumah) iaitu di sebuah kenderaan Honda Jazz.
“Saya ada di dalam rumah bersama Mohd Azim untuk bertanyakan tentang satu kes yang disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, yang pada asalnya saya diarahkan untuk mengesan penama tersebut (Mohd Azim) berkait kes itu,” katanya.
Wan Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin, pada hari keempat perbicaraan kes Sharifah Faraha yang didakwa memiliki sepucuk pistol dipercayai dibekalkan kepada warga Israel, di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Wan Ibrahim berkata pada awalnya, beliau tidak terlibat dengan penemuan barang kes tersebut kerana sedang menyoal siasat suami Sharifah Faraha di dalam rumah, manakala Sharifah Faraha pula berada di luar rumah bersama ASP Khairul Azizi dan beberapa anggota lain memeriksa kenderaan tersebut.
“Pada awalnya saya tidak terlibat dengan pemeriksaan tersebut. Namun selepas penemuan barang kes iaitu pistol, saya ada pergi melihat keadaan kenderaan tersebut dan barang kes yang dijumpai di dalam salah satu zip beg hitam dalam bonet kenderaan tersebut,” katanya.
Wan Ibrahim berkata dia melihat satu objek menyerupai sepucuk pistol berwarna berkilat krom dan berhulu seperti corak kayu berada di dalam satu sarung.
Sharifah Faraha diwakili peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim.
Pada 8 April 2024, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 8 malam, 29 Mac 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 5 Jun 2025, suami kepada wanita itu Abdul Azim, 44, dihukum penjara 10 tahun dengan enam sebatan oleh mahkamah sama, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Abdul Azim didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah, bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman serupa.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Israel Avitan Shalom, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 26 Feb, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 200 peluru dan enam senjata api.
Avitan, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.
Perbicaraan bersambung 17 Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial