EKONOMI

Belanjawan 2026 Titik Perubahan Dalam Naratif Fiskal Malaysia - Ahli Ekonomi

13/10/2025 06:04 PM

Oleh Naveen Prabu Kuppusamy

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 Malaysia memperlihatkan perubahan yang jelas dalam strategi fiskal kerajaan, dengan memberi keutamaan kepada kecekapan dan disiplin berbanding cukai baharu bagi mewujudkan keupayaan berbelanja, menurut ahli ekonomi Dr Geoffrey Williams.

Beliau berkata kerajaan telah menunjukkan kemampuan menguruskan konsolidasi fiskal sambil mengekalkan peruntukan bagi sektor utama sekali gus menandakan perubahan daripada idea sejak sekian lama bahawa peningkatan perbelanjaan perlu diperoleh melalui pengenaan cukai baharu atau lebih tinggi.

“Naratif umum bahawa kerajaan perlu mengenakan lebih banyak cukai untuk berbelanja lebih tidak lagi diguna pakai memandangkan kerajaan boleh mewujudkan ruang fiskal dengan membanteras pembaziran, ketirisan dan rasuah berbanding menaikkan cukai,” katanya dalam temu bual secara dalam talian bersama hos Melissa Ong semasa program Bernama World bertajuk ‘Budget 2026: The cost and the cure,’ hari ini.

Williams menggambarkan belanjawan berkenaan sebagai "fasa terakhir dalam pengurusan dalaman fiskal negara," yang mencerminkan kawalan perbelanjaan yang lebih tegas dan tadbir urus lebih baik.

Beliau berkata walaupun belanjawan berkenaan secara rasminya bernilai RM470 bilion, sebahagian besar dana ini daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun, menyebabkan jumlahnya lebih kecil berbanding Belanjawan 2025.

“Belanjawan ini lebih kecil berbanding yang dirancang untuk 2025, dan ini menunjukkan satu titik perubahan sebenar dalam dasar fiskal yang bererti kerajaan boleh mencapai lebih banyak hasil melalui sumber yang lebih kecil dengan mengurangkan pembaziran, ketirisan dan rasuah,” kata beliau.

Beliau berkata walaupun tiada cukai baharu secara menyeluruh diperkenalkan, pertumbuhan hasil dijangka diterima daripada sumber sedia ada, dengan sokongan langkah penguatkuasaan yang ditambah baik seperti e-invois dan cukai karbon yang akan datang.

“Secara keseluruhan, hasil kerajaan dijangka lebih tinggi pada tahun depan berbanding tahun ini, dan kerajaan tidak perlu menaikkan cukai kerana telah berjaya menjimatkan RM15.5 bilion melalui rasionalisasi subsidi dan memperoleh semula RM15.5 bilion lagi menerusi usaha anti-rasuah,” katanya.

Williams turut merendahkan risiko inflasi daripada subsidi bersasar, sambil memaklumkan langkah berkenaan melibatkan peralihan peruntukan dan bukan perbelanjaan tambahan.

“Unjuran inflasi kerajaan untuk tahun depan tidak akan melebihi dua peratus, yang mungkin wajar, dan saya tidak melihat sebarang kesan inflasi yang ketara daripada perubahan rasionalisasi ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan