AM

Belanjawan 2026: Peruntukan Naik Taraf Berupaya Sedia PPR Manusiawi

12/10/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR 12 Okt (Bernama) -- Komitmen kerajaan dalam menyediakan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang lebih manusiawi, dapat direalisasikan menerusi peruntukan penyelenggaraan dan projek naik taraf, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Dr Ahmad Hariza Hashim berkata pengumuman itu turut menterjemahkan usaha kerajaan memastikan keselesaan dan peningkatan kualiti hidup penghuni program perumahan tersebut.

“Penyelenggaraan ini yang termasuk penggantian lif usang amat penting kerana ada antara unit PPR sudah lama. Kerosakan lif juga isu kemanusiaan yang mendesak.

“Bagi penghuni warga emas atau kurang upaya di flat yang tinggi, lif rosak bukan sekadar menyebabkan ketidakselesaan, tetapi juga pengasingan. Kajian kami menunjukkan kegagalan mobiliti ini menghalang penyertaan sosial golongan ini,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata inisiatif kerajaan memperkukuh sosioekonomi komuniti PPR menerusi pelbagai program kesedaran dan gaya hidup sihat, turut berupaya meningkatkan interaksi sosial dalam kalangan komuniti perumahan terlibat.

“Usaha kerajaan memelihara sosioekonomi komuniti PPR terutamanya warga emas dilihat elemen terbaik dalam mewujudkan interaksi sosial dan pada masa sama mengukuhkan ikatan kejiranan komuniti PPR.

“Ini inti pati sebenar kediaman manusiawi, iaitu sebuah persekitaran yang bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, sebaliknya juga memupuk kehidupan komuniti yang sihat dan penyayang,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat, mengumumkan peruntukan berjumlah RM143 juta bagi menyelenggara rumah strata kos rendah sederhana termasuk penggantian lif usang.

Pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, Universiti INCEIF Prof Dr Amir Shaharuddin berkata tumpuan menyediakan kediaman PPR yang selamat dan selesa dalam belanjawan kali ini disifatkan wajar dan perlu dilaksanakan berterusan, termasuk kepada PPR diselia pihak berkuasa tempatan (PBT).

“(Sebagai contoh) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang secara proaktif menyediakan dana RM300 juta bagi penyelenggaraan bangunan, sistem pendawaian serta kemudahan jalan di PPR, merupakan langkah menyeluruh dan holistik dalam memastikan infrastuktur kediaman pada tahap terbaik.

“Impaknya juga akan mewujudkan persekitaran berkualiti selain mampu menangani isu perumahan berbangkit khususnya di kawasan perumahan strata ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan