VICTORIA (Seychelles), 12 Okt (Bernama-Xinhua) -- Calon parti pembangkang utama Seychelles, "United Seychelles", Patrick Herminie memenangi pilihan raya presiden selepas memperoleh lebih 50 peratus undi, menurut keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu pada Ahad.
Keputusan rasmi menunjukkan Herminie meraih 52.7 peratus undi, manakala penyandang presiden, Wavel Ramkalawan daripada Parti "Seychellois Democratic Alliance" memperoleh 47.3 peratus dalam pusingan penentuan.
“Saya amat terharu dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat kepada saya. Saya menerima mandat ini dengan penuh kesyukuran, rasa tanggungjawab serta keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap kekuatan dan jati diri rakyat Seychelles,” kata Herminie selepas diumumkan sebagai presiden baharu.
Herminie, 62, pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Perwakilan Seychelles dari 2007 hingga 2016.
Menurut perlembagaan, tempoh penggal jawatan presiden ialah selama lima tahun. Calon yang memperoleh lebih separuh daripada jumlah undi pada pusingan pertama akan diisytiharkan sebagai pemenang.
Sekiranya tiada calon memperoleh majoriti, dua calon teratas akan mara ke pusingan penentuan.
Kepulauan Lautan Hindi itu menjalankan pusingan penentuan pilihan raya presiden dari Khamis hingga Sabtu, selepas tiada calon memperoleh majoriti dalam pusingan pertama pada akhir September.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial