RAMALLAH (Palestin), 11 Okt (Bernama-IRNA) -- Rejim Israel telah melanjutkan penutupan pejabat Al Jazeera di Bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki, untuk tempoh 60 hari bermula pagi Sabtu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Menurut laporan Al Jazeera Bahasa Arab, satu notis yang dikeluarkan oleh komander tentera Israel di Tebing Barat telah ditampal di pintu masuk Bangunan City Centre, lokasi pejabat rangkaian berita itu di tingkat lapan.
Israel mendakwa rangkaian berita berpangkalan di Qatar itu “membantu pengganas”, selepas salurannya melaporkan secara meluas tentang perang rejim itu di Gaza dan tindakan keras terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang semakin meningkat sejak bermulanya konflik Gaza pada awal Oktober 2023.
Israel pada awalnya menutup pejabat Al Jazeera di Ramallah selama 45 hari pada September 2024 selepas tenteranya menyerbu bangunan berkenaan. Rejim itu kemudiannya membatalkan akreditasi media wartawan Al Jazeera susulan keputusan pada Mei tahun sama untuk mengharamkan siaran rangkaian itu di dalam Israel.
Rangkaian berita itu menyifatkan sekatan dan langkah penindasan lain sebagai cubaan untuk “menghalang dunia daripada menyaksikan realiti keadaan di wilayah yang diduduki serta perang berterusan di Gaza dan kesan buruknya terhadap orang awam yang tidak bersalah,” menurut Al Jazeera Bahasa Inggeris.
Sekatan Israel terhadap rangkaian berita itu adalah sebahagian daripada kempen lebih luas yang dipercayai bertujuan untuk membungkam suara pro-Palestin.
Hampir 300 wartawan dan petugas media telah terbunuh dalam perang Gaza, termasuk 10 daripada Al Jazeera, lapor rangkaian itu awal minggu ini dengan memetik Pemerhati Shireen Abu Akleh.
-- BERNAMA-IRNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial