AM

Optimumkan Peruntukan Dalam Belanjawan 2026 - TPM Fadillah 

11/10/2025 06:14 PM

KUCHING, 11 Okt (Bernama) -- Semua peruntukan dalam Belanjawan 2026 perlu dioptimumkan bagi memastikan ia benar-benar mencapai matlamat terutamanya dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata sinergi antara semua agensi di bawah Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri penting bagi mencapai matlamat itu.

“Kita perlu pastikan segala projek dan program (dalam Belanjawan 2026) dapat dilaksanakan secara berkesan mengikut tempoh, skop kerja dan bajet yang telah ditetapkan.

“Sebab itu pemantauan perlu baik bagi memastikan duit diperuntukkan dapat dibelanjakan. Kadang-kadang kita lihat duit dah diperuntukkan itu tidak dibelanjakan sepenuhnya, jadi ini merugikan matlamat dan tujuan kita,” katanya pada sidang media mengenai Belanjawan 2026 di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ yang memperuntukkan keseluruhan RM470 bilion dengan tumpuan memacu pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kekayaan negara dapat dinikmati secara saksama oleh semua golongan masyarakat.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 itu berkata ia meliputi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus (OE) Persekutuan dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan (DE) Persekutuan serta RM30 bilion pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pelaburan awam-swasta (RM10 bilion) dan pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) (RM10.8 bilion).

Belanjawan 2026 adalah belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan