KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu negara dijangka bermula selepas Belanjawan 2026 diluluskan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mempercepat pelaksanaan projek penambahbaikan lif yang sering mengalami kerosakan di kawasan PPR, selepas lawatan beliau ke Pantai Dalam baru-baru ini.
“Perdana Menteri minta supaya RM300 juta disediakan untuk segera melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan. Kita jangka kebiasaannya untuk menukar lif akan makan masa sekitar enam ke sembilan bulan setelah proses tender dan segalanya selesai.
“Perdana Menteri baru bentang dalam Belanjawan 2026, jadi perlu ada proses…ada senarai (PPR yang memerlukan penambahbaikan lif),” katanya pada pemberita selepas Majlis Sumbangan Deepavali Peringkat Parlimen Lembah Pantai 2025, di sini hari ini.
Beliau berkata kerja-kerja berkenaan dijangka dimulakan sebaik proses perolehan selesai dengan sasaran lif-lif yang rosak dapat digantikan menjelang tahun depan.
Fahmi berkata beliau akan menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Jabatan Perumahan DBKL bagi memastikan kawasan yang paling kritikal dikenal pasti dan diberikan keutamaan dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata Perdana Menteri sebelum ini juga mengarahkan DBKL untuk menambah baik lebih banyak gerai dan kedai di sekitar Kuala Lumpur, selepas 113 unit berjaya dibaik pulih dalam tempoh dua tahun lepas.
“Perdana Menteri berkata memandangkan kita ada lebih 2,000 unit di seluruh Kuala Lumpur di bawah jagaan DBKL, maka itu perlu ditambah baik segera. RM200 juta dana DBKL akan digunakan untuk tujuan itu,” katanya.
Mengulas mengenai Belanjawan 2026 yang dibentangkan semalam, Fahmi berkata rata-rata rakyat memberikan maklum balas positif terhadap pendekatan kerajaan yang menumpukan kesejahteraan rakyat hasil penjimatan dan ketelusan pengurusan kewangan negara.
“Apa yang kerajaan telah lakukan pada hari ini hasil daripada penjimatan, aspek tatakelola, tadbir urus dan pengurusan yang lebih telus, (dan) lebih baik. Kita berjaya mengurangkan ketirisan, penyeludupan dan semua yang kita jimatkan ini kita akan kembalikan kepada rakyat.
“… pagi tadi saya di salah satu kedai kopi di Bangsar bercakap dengan penduduk dan rata-rata mereka menyatakan rasa gembira dengan belanjawan yang telah dibentangkan. Mereka lihat sekarang negara berada di hala tuju yang betul…insya-Allah kita akan terus meneliti, menilai, menambah baik sekiranya ada mana-mana kumpulan yang perlukan bantuan tambahan, maka sudah pasti pihak kerajaan akan meneliti,” katanya.
Fahmi berkata beliau juga telah meminta Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) yang mewakili syarikat kurier dan pos untuk meneliti kedudukan pekerja penghantaran yang tidak termasuk dalam kategori pekerja gig bagi mendapatkan penyelesaian bersama kerajaan.
“Saya telah minta AMEC yang mewakili semua syarikat kurier dan pos untuk bertanya dengan semua ahli mereka dan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, insya-Allah pada awal minggu depan kerana ada dalam kalangan penghantar bungkusan ini tidak tergolong dalam kategori pekerja gig atau e-hailing atau p-hailing.
“Ini yang sedang diusahakan, maka kerajaan MADANI sentiasa mendengar dan kita akan usahakan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.
Mengenai Majlis Sumbangan Deepavali hari ini, Fahmi berkata lebih 1,200 keluarga di kawasan Parlimen itu akan menerima baucar bernilai RM150 sempena perayaan tersebut dan pengagihan bantuan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat bermula minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial