EKONOMI

Langkah Konsolidasi Fiskal Dijangka Kurangkan Pinjaman Bersih Malaysia Pada 2026

11/10/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Pinjaman bersih kerajaan dijangka menyusut sedikit pada 2026 seiring dengan langkah konsolidasi fiskal di bawah strategi fiskal jangka sederhana kerajaan yang bertujuan mengurangkan defisit kepada RM74.6 bilion (2025: -RM76.7 bilion), kata CIMB Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu berkata hutang statutori Kerajaan Persekutuan berjumlah 63.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir Jun 2025, dan unjuran Kementerian Kewangan (MOF) menunjukkan kadar itu akan kekal stabil sekitar paras tersebut hingga 2026, iaitu masih di bawah had siling hutang statutori sebanyak 65 peratus.

Dalam nota penyelidikan hari ini CIMB berkata caj perkhidmatan hutang negara dijangka meningkat pada kadar lebih sederhana sebanyak 7.6 peratus tahun ke tahun kepada RM54.3 bilion tahun ini dan 7.4 peratus kepada RM58.3 bilion pada 2026 (2024: RM50.5 bilion; 9.0 peratus), disokong oleh pinjaman bersih yang lebih kecil serta kos pinjaman yang lebih rendah.

“Konsolidasi fiskal yang lebih kukuh daripada jangkaan bagi 2025-2026 membantu mengimbangi cabaran daripada tekanan bekalan pada tahun hadapan, berikutan keperluan pembiayaan semula yang lebih besar susulan kematangan sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang lebih tinggi (2026: RM108.7 bilion; 2025: RM83.5 bilion).

“Kami menjangkakan MOF akan mengurangkan risiko pembiayaan semula bon melalui penggantian bon kepada bil, menyokong unjuran penawaran MGS dan GII kami antara RM173 bilion hingga RM178 bilion,” katanya.

Menurut CIMB, jumlah itu sedikit meningkat antara RM2.5 bilion hingga RM7.5 bilion berbanding RM170.5 bilion pada 2025, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk menampung pembiayaan semula sukuk global berjumlah US$1 bilion yang akan matang pada April 2026 melalui instrumen dalam mata wang tempatan.

Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd berkata secara keseluruhan, kerajaan dilihat berada di landasan yang betul dalam usaha menurunkan defisit fiskal, yang sebelum ini melebihi enam peratus daripada KDNK semasa pandemik global pada 2020 hingga 2021.

“Melihat kepada kemajuan ini, kami percaya sasaran kerajaan untuk mengurangkan defisit kepada bawah tiga peratus daripada KDNK menjelang 2030 boleh dicapai,” kata MBSB Research dalam satu nota.

Ia berkata defisit yang berterusan itu mencerminkan kebergantungan terhadap pinjaman bagi membiayai perbelanjaan pembangunan kerajaan (DE), manakala perbelanjaan mengurus akan ditampung sepenuhnya oleh hasil fiskal kerajaan.

Setelah mengambil kira defisit fiskal yang lebih kecil, MBSB Research menganggarkan terbitan kasar hutang kerajaan boleh meningkat semula kepada RM191.3 bilion selepas pinjaman kasar kerajaan diunjur menurun kepada RM184 bilion tahun ini (2024: RM197.5 bilion).

Sementara itu, peningkatan pinjaman pada tahun depan disumbangkan oleh jumlah penebusan yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM116.7 bilion, katanya.

Bekalan bersih pula dijangka sedikit lebih rendah pada RM74.5 bilion bagi 2026 berbanding anggaran RM76.7 bilion pada 2025.

MBSB Research turut menjangkakan terbitan kasar MGS dan GII akan meningkat sedikit kepada RM177.3 bilion tahun depan (anggaran 2025: RM170.5 bilion).

“Sehubungan itu, kami mengunjurkan jumlah keseluruhan hutang kerajaan akan melebihi RM1.3 trilion, sekali gus mengekalkan nisbah hutang kepada KDNK pada paras 64.3 peratus (anggaran 2025: 64.9 peratus; 2024: 64.6 peratus),” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan