EKONOMI

Cukai Karbon Pemacu Utama Bagi Percepat Penyahkarbonan - MPRC

11/10/2025 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) menyifatkan cukai karbon yang diperkenalkan kerajaan melalui Belanjawan 2026 sebagai pemacu utama bagi mempercepat penyahkarbonan, khususnya menerusi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Agensi di bawah Kementerian Ekonomi itu menjelaskan langkah memperkenalkan cukai karbon bagi sektor besi, keluli, dan tenaga pada tahun depan itu menandakan langkah tegas ke arah kebertanggungjawaban karbon dan pengawalseliaan pelepasan berasaskan pasaran.

Sebagai persediaan bagi langkah ini, MPRC telah mula menjejaki data pelepasan karbon daripada syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) untuk mewujudkan garis dasar industri.

“Inisiatif penjejakan Gas Rumah Hijau (GHG) oleh MPRC merupakan sebahagian daripada aktiviti mengikut Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sejak 2024, MPRC telah menyokong Bahagian Alam Sekitar dan Sumber Asli Kementerian Ekonomi dalam merangka dan mendorong pelan pelaksanaan CCUS kerajaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC Mohd Yazid Ja’afar berkata perkara yang memberangsangkan apabila menyaksikan komitmen berterusan kerajaan terhadap peralihan tenaga melalui Belanjawan 2026.

“Pengumuman mengenai RM150 juta untuk Dana Peralihan Tenaga Negar serta lanjutan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau adalah antara inisiatif yang memberikan isyarat jelas bahawa agenda peralihan tenaga oleh kerajaan akan diteruskan.

“Ini perlu dilihat sebagai laluan pasti bagi syarikat OGSE untuk meneroka aktiviti yang mampu mencipta nilai tambah,” katanya.

Inisiatif peralihan tenaga lain menerusi Belanjawan 2026 termasuk menyokong inisiatif utama dalam Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 serta usaha MPRC untuk mengalih hala tuju syarikat OGSE kepada bidang pertumbuhan baharu yang melangkaui perkhidmatan sokongan minyak dan gas tradisional, dengan syarikat OGSE mempunyai kemahiran yang boleh dipindahkan.

MPRC menjelaskan pihaknya menawarkan peluang padanan perniagaan untuk projek Solar Terapung Hibrid Hidro, yang merupakan projek utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Penekanan kerajaan terhadap penyepaduan tenaga serantau melalui pembangunan Grid Tenaga ASEAN, serta projek Sambungan Kabel Bawah Laut MADANI bernilai RM2 bilion merentas Johor, Sabah dan Sarawak, akan membuka peluang baharu kepada syarikat OGSE untuk mempelbagaikan dengan menceburi portfolio peralihan tenaga yang berkaitan, jelas agensi itu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cukai karbon diperkenalkan mulai tahun hadapan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.

“Bagi memastikan kecekapan pelaksanaan cukai karbon, mekanismenya akan turut diselaraskan dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal,” kata beliau.

Anwar juga berkata Skim Pembiayaan Teknologi Hijau, GTFS 5.0 dibuka sehingga 31 Dis, 2026 dengan insentif jaminan kerajaan sehingga 80 peratus bagi teknologi hijau sektor sisa dan jaminan sehingga 60 peratus bagi sektor lain seperti tenaga, air, pengangkutan dan pembuatan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM1 bilion.

Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion, daripada jumlah itu peruntukan kerajaan adalah RM419.2 bilion.

Sebanyak RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).

Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan