AM

KPM Galakkan Pemakaian Penutup Muka Bendung Penularan Influenza

11/10/2025 03:11 PM

NIBONG TEBAL, 11 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan pemakaian penutup muka di semua sekolah bagi membendung penularan penyakit berjangkit seperti Influenza (ILI), bukan sahaja dalam kalangan murid tetapi juga guru dan petugas sekolah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM telah menyelaraskan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) semasa bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang merangkumi langkah-langkah pencegahan melibatkan aspek kesihatan, keselamatan dan kebersihan warga sekolah.

“Dalam masa sama, KPM juga memantau sepenuhnya gejala ini dan telah mengingatkan semua negeri, khususnya pengarah pendidikan serta kepimpinan tertinggi KPM, untuk melaksanakan langkah-langkah yang telah ditetapkan di bawah garis panduan sedia ada.

“Garis panduan ini berpandukan pedoman KKM dan kita telah mengeluarkan peringatan agar sekolah sentiasa memantau situasi, mengambil langkah pencegahan, menjaga kesihatan, keselamatan serta kebersihan, dan menggalakkan pemakaian pelitup muka di sekolah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penempatan Semula Penduduk Ladang Byram yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Fadhlina berkata, setakat ini terdapat beberapa kes jangkitan influenza yang dikesan di sekolah namun keadaan masih terkawal dan pemantauan berterusan dilaksanakan terhadap murid serta guru.

Katanya, KPM turut menyeru semua pentadbir sekolah agar sentiasa berwaspada dan memastikan pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak serta menjamin keselamatan warga sekolah.

“Kita akan terus memantau keadaan anak-anak dan guru, kerana kita sedar komuniti sekolah amat besar. Jadi, bukan sahaja keselamatan murid, tetapi juga guru perlu diberi perhatian. Sekali lagi, kita mengingatkan pentadbir sekolah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan pematuhan SOP bagi mengelak penularan jangkitan,” katanya.

Mengulas kemungkinan penutupan sekolah sekiranya kes influenza meningkat, beliau menjelaskan bahawa sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas semua langkah pencegahan dipatuhi sepenuhnya.

“Berdasarkan SOP KPM, penutupan sekolah hanya akan dilakukan selepas semua langkah pencegahan dilaksanakan dan dipatuhi bagi memastikan penularan jangkitan dapat dikawal,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan