AM

Penjawat Awam Sahut Cabaran Terus Percepat Proses Kerja - KSN

10/10/2025 08:25 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Penjawat awam menyahut cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 untuk terus mempercepatkan proses dan prosedur kerja, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

Beliau berkata perkhidmartan awam akan berusaha untuk merekayasa semula sistem, meruntuhkan tembok silo antara agensi dan fokus kepada kesejahteraan rakyat.

“Sesungguhnya, kami mengenggam tekad untuk bersama-sama merealisasikan pelaksanaan strategi Belanjawan 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas mengenai belanjawaan keempat MADANI itu, Shamsul Azri berkata sembilan tekad yang diumumkan memberi mesej jelas bahawa kerajaan berusaha mengangkat ekonomi negara untuk terus mampan, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran domestik dan global.

“Satu pembentangan yang sarat dengan intipati dan tekad yang jelas bagi memberi penekanan kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat, penumpuan kepada pembangunan sektor-sektor ekonomi, program meningkatkan pendapatan rakyat dan pelbagai prakarsa untuk membantu rakyat keseluruhannya,” katanya. 

Beliau berkata Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 adalah satu berita yang amat disambut baik oleh seluruh jentera perkhidmatan awam negara. 

“Ini dapat meningkatkan motivasi untuk terus komited melaksanakan tugas serta memperkasa penyampaian perkhidmatan awam.

“Saya mewakili seluruh keluarga perkhidmatan awam ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan dan menghargai khidmat penjawat awam dengan pelbagai inisiatif penambahbaikan,” katanya.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan pemberian BKK sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak yang akan disalurkan pada Mac 2026 menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau turut mengumumkan beberapa kemudahan lain sebagai penghargaan kepada seluruh penjawat awam, yang saban hari menjalankan amanah serta berkhidmat menjayakan dasar-dasar MADANI demi kesejahteraan rakyat.

Antaranya, RM2.2 bilion bagi menambah baik perumahan penjawat awam, perluasan pelaksanaan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi kepada kumpulan pengurusan dan profesional, elaun sara hidup RM900 sebulan kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa serta bayaran khas sebanyak RM500 kepada hampir 120,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan