AM

Belanjawan 2026 Inklusif, Tumpu Pembangunan Sosioekonomi Luar Bandar - TPM Ahmad Zahid

10/10/2025 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 disifatkan belanjawan yang inklusif dengan memberi tumpuan besar terhadap pembangunan luar bandar, sekali gus memastikan kesejahteraan masyarakat desa terus diperkasa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementeriannya menerima peningkatan peruntukan kepada RM12.4 bilion, meningkat RM440 juta atau 3.69 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ahmad Zahid berkata peningkatan itu jelas menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memacu pembangunan sosioekonomi luar bandar secara lebih menyeluruh tanpa meminggirkan golongan di desa termasuk Orang Asli.

“Tiga agensi besar yang menjadi tonggak sosioekonomi luar bandar, iaitu FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) dan FELCRA (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) diperuntukkan RM2.4 bilion oleh kerajaan untuk melindungi lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil serta keluarga mereka.

“Peruntukan MARA (Majlis Amanah Rakyat) juga dipertingkatkan meliputi aspek pendidikan dan keusahawanan, manakala komuniti Orang Asli turut menikmati kenaikan belanjawan kepada RM412 juta, termasuk pembinaan dan naik taraf premis tabika serta pelaksanaan program Chup Badui Sikulah (CBS) yang sangat dekat dengan pendidikan anak-anak Orang Asli,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ akan mengumpul dan mengoptimumkan sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini berkata ia meliputi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus (OE) Persekutuan dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan (DE) Persekutuan, serta RM30 bilion pelaburan GLIC, pelaburan awam-swasta (RM10 bilion) dan pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD (RM10.8 bilion).

Ahmad Zahid berkata secara keseluruhannya Belanjawan 2026 adalah belanjawan rakyat yang berpaksikan kesejahteraan dan pelaburan masa depan negara.

“Ini adalah belanjawan inklusif yang bukan sahaja melindungi rakyat daripada cabaran global, tetapi juga membina asas yang mampan, berdaya tahan dan makmur untuk generasi akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan turut mengiktiraf sumbangan bekas petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), apabila 4,000 orang termasuk bekas guru kontrak bakal menerima kenaikan elaun bulanan daripada RM300 kepada RM500 mulai tahun depan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata bidang itu juga terus mendapat perhatian utama kerajaan apabila peruntukan bagi tahun depan ditingkatkan kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion tahun ini.

“Tumpuan akan diberi kepada TVET berkapasiti tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik, robotik dan lain-lain bidang baharu. Selain itu, pelajar tahfiz dan huffaz juga tidak ketinggalan dengan peruntukan khas RM150 juta untuk pengajian mereka dalam kerangka TVET,” katanya.

Menurut beliau, agenda pembangunan halal negara turut diperkukuh manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerima RM460 juta bagi program jangka panjang pengurusan banjir selain RM2.2 bilion untuk projek tebatan banjir.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan