AM

Belanjawan 2026: Peruntukan KKM Naik Kepada RM46.5 Bilion

10/10/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI memperuntukkan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2026 berbanding RM45.3 bilion pada tahun ini bagi memastikan capaian perkhidmatan kesihatan yang bermutu, adil dan mampu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata untuk meningkatkan mutu prasarana kesihatan awam, RM1.2 bilion diperuntuk bagi penyelenggaraan dan baik pulih hospital serta klinik kerajaan.

“Wad-wad hospital daerah di seluruh negara turut dinaik taraf dengan peruntukan RM100 juta, peralatan lapuk diganti selain memperoleh peralatan canggih untuk disiplin baharu (RM755 juta),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyediakan RM650 juta antaranya untuk meningkatkan ketersambungan Internet di hospital awam, klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik komuniti dan klinik desa.

Bagi menyelesaikan isu kesesakan di hospital awam, beliau berkata kerajaan akan meningkatkan kerjasama untuk menyumber luar pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta yang melibatkan RM140 juta manakala peranan klinik kesihatan diperkasa dengan penyediaan perkhidmatan pakar menerusi peruntukan RM30 juta.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan membina hospital, klinik dan blok tambahan baharu meliputi Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah; blok tambahan di Hospital Pontian, Johor serta Hospital Banting dan Sungai Buloh di Selangor, dan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II.

Ia turut melibatkan pembangunan Advanced Surgical Block di Hospital Pakar USM, Kubang Kerian di Kelantan; pembinaan 13 klinik kesihatan baharu antaranya di Machang, Teluk Kemang, Mukah dan Nabawan serta menyegerakan pelaksanaan Pusat Kanser Negara di Kuching dan Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor.

Anwar berkata kerajaan juga meluluskan tawaran pelantikan ke jawatan tetap kepada 4,500 doktor kontrak pada tahun depan manakala 935 graduan Institut Latihan KKM akan ditawarkan jawatan tetap sebagai jururawat sebagai tambahan kepada 833 jururawat kontrak yang telah menerima pelantikan tetap tahun ini.

“Sejak 2023 hingga tahun ini, Kerajaan MADANI telah meluluskan 1,500 jawatan tambahan bagi menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap, menjadikan sejumlah 12,900 kontrak diserapkan ke jawatan tetap, termasuk pengisian tahunan,” katanya.

Dengan kadar fi perundingan pengamal perubatan am tidak disemak sejak 2006, beliau berkata kerajaan bersetuju menetapkan fi perundingan di antara RM10 hingga RM80 berbanding RM10 hingga RM35 sebelum ini.

Bagi menghargai dedikasi petugas kesihatan termasuk pegawai perubatan pakar dan pergigian, beliau mengumumkan kenaikan kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP), yang tidak dikaji sejak 2011, sekitar 40 peratus berkuat kuasa 1 Okt 2025 menerusi peruntukan tambahan RM120 juta.

“Umpamanya, doktor pakar yang diarah bertugas atas panggilan aktif pada hari cuti, kadar ETAP ditingkatkan kepada RM350 berbanding RM250.

"Selain itu, kerajaan akan merintis projek usaha sama awam-swasta bagi ubat-ubatan penting untuk meningkatkan keterjaminan bekalan ubat negara,” katanya.

Dalam menangani kenaikan inflasi perubatan, Perdana Menteri berkata dana bersama kerajaan dan industri sebanyak RM60 juta disediakan bagi memperkenal produk insurans asas mampu milik untuk semua serta melaksanakan sistem Diagnosis Related Group (DRG).

Bagi menggalakkan caruman perlindungan, beliau mengumumkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 yang diberikan untuk premium insurans atau takaful nyawa untuk diri dan pasangan diperluas kepada anak.

Anwar turut mengumumkan pelanjutan tiga tahun sehingga 2028 bagi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas polisi insurans atau sijil takaful serta produk Perlindungan Tenang.

MySalam diteruskan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah selepas RM1.2 bilion tuntutan hospitalisasi dan penyakit kritikal dibayar, yang memanfaatkan 1.7 juta penerima.

“Bagi menggalakkan hospital swasta membantu rawatan pesakit kurang mampu, hospital swasta dibenar menubuhkan Tabung Kebajikan Hospital yang diurus oleh syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ).

"Pencarum KWSP juga boleh menggunakan simpanan Akaun Sejahtera untuk melanggan pelan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan