KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Universiti Multimedia (MMU) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Persatuan Sistem Global Bagi Komunikasi Mudah Alih (GSMA) melancarkan kohort kedua "Converged Telecommunications Policy and Regulations (CTPR) Masterclass" sempena ulang tahun ke-10 program itu.
Program CTPR Masterclass yang diperkenalkan pada 2015 itu, memberi manfaat kepada lebih 300 profesional daripada badan pengawal selia dan kementerian di seluruh rantau ini sekali gus memperkukuh keupayaan kepimpinan dan inovasi dasar dalam ekosistem telekomunikasi serta digital.
Menurut kenytaan bersama MMU, MCMC dan GSMA hari ini, inisiatif itu menjadi platform latihan kepimpinan serantau yang melahirkan pemimpin berwawasan dan mempunyai daya adaptasi untuk merangka dasar serta strategi dalam persekitaran digital.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MMU Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata masterclass berkenaan telah berkembang menjadi platform dinamik bagi kepimpinan dan kerjasama.
“CTPR Masterclass menyatukan idea, kepakaran dan aspirasi untuk membentuk masa depan tadbir urus telekomunikasi. Ketika kita mengorak langkah ke dekad seterusnya, misi kami kekal untuk melahirkan pemimpin era digital yang tangkas dan berpandangan jauh,” katanya.
Dalam kenyataan itu, MCMC turut menekankan mengenai keperluan untuk memperkukuh pembangunan kepimpinan secara berterusan dalam kalangan pengawal selia bagi menghadapi kepesatan transformasi digital.
Menurut kenyataan itu, memperkukuh keupayaan kepimpinan amat penting dalam merangka dasar yang berpandangan jauh bagi menggalakkan inovasi, memelihara kepercayaan awam dan memastikan masa depan digital yang mampan serta inklusif.
Sementara itu, Ketua Pembinaan Kapasiti GSMA Asia Pasifik Niall Magennis berkata program berkenaan menjadi asas utama pembangunan kepimpinan di rantau Asia Pasifik selama lebih sedekad, memperkasakan profesional untuk merangka dasar berpandangan jauh serta pertumbuhan digital inklusif.
Program bertemakan "Intelligent Connectivity: Shaping the Future of 5G, AI, Security, and Sustainability” selama lima hari itu menghimpunkan pembuat dasar, pengawal selia dan peneraju industri dari seluruh ASEAN dan negara-negara lain.
Peserta antarabangsa bagi kohort kali ini termasuk wakil daripada Pengawal Selia Telekomunikasi Kemboja (TRC) dan Suruhanjaya Kawal Selia Komunikasi Mongolia yang sekali gus mencerminkan kepentingan program itu sebagai platform global untuk kepimpinan dan perkongsian ilmu.
“Ketika CTPR Masterclass melangkah ke dekad seterusnya, MMU, MCMC dan GSMA menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh kepimpinan telekomunikasi, mempererat kerjasama serantau serta memajukan masa depan digital yang mampan, inklusif dan berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai program itu layari http://ctpr.mmu.edu.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial