Oleh Naveen Prabu Kuppusamy
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mencadangkan agar kerajaan meluaskan skim Baucar Perlindungan Tenang (PTV) meliputi motosikal sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan penembusan insurans dan keselamatan jalan raya dalam Belanjawan 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif PIAM Chua Kim Soon berkata sebahagian besar motosikal di jalan raya Malaysia masih tidak diinsuranskan, menyebabkan penunggang dan mangsa kemalangan tidak mendapat perlindungan yang mencukupi.
“Salah satu kebimbangan utama kami adalah bilangan motosikal tanpa insurans yang tinggi di jalan raya, dan meluaskan skim PTV merangkumi motosikal akan membantu meningkatkan langganan insurans sambil memastikan keselamatan dan pampasan yang lebih baik kepada mereka yang terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Chua berkata demikian kepada Bernama di luar sesi taklimat prestasi setengah tahun PIAM 2025 pada Rabu.
Program PTV yang dilancarkan pada September 2021 merupakan inisiatif kerajaan bertujuan memperluas perlindungan sosial untuk golongan berpendapatan rendah dan ditawarkan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang layak.
Chua berkata inisiatif itu, yang pada masa ini merangkumi produk perlindungan terpilih untuk kumpulan berpendapatan B40 tetapi tidak termasuk perlindungan motosikal, berpotensi memainkan peranan penting dalam meningkatkan pematuhan terhadap pemilikan cukai jalan dan keperluan insurans.
Beliau juga menyeru supaya insentif diberikan untuk menggalakkan syarikat insurans membangunkan produk mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah, dengan menyatakan komuniti B40 sering menghadapi kesukaran dari segi kemampuan membayar apabila melibatkan perlindungan insurans.
“Menghasilkan produk dengan jumlah perlindungan yang rendah dan premium rendah untuk segmen B40 melibatkan kos operasi dan pengedaran yang tinggi, jadi insentif kerajaan seperti pengecualian cukai yang lebih tinggi akan membantu mendorong syarikat insurans menawarkan perlindungan yang lebih mampu milik,” kata Chua.
Beliau berkata selain itu, risiko perubahan iklim merupakan satu lagi kebimbangan utama untuk industri, memandangkan Malaysia kini menghadapi kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan tidak menentu seperti banjir.
“Kami berharap kerajaan akan menggalakkan syarikat insurans untuk melabur dalam penyelidikan dan pengumpulan data mengenai risiko perubahan iklim dengan menawarkan insentif kepada mereka.
“Langkah ini akan membantu industri memahami dan menetapkan harga risiko dengan lebih baik, sekali gus membawa kepada produk dan pengurusan tuntutan yang lebih baik,” kata Chua.
Beliau juga menyokong cadangan terkini Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) baru-baru ini untuk menaikkan had pelepasan cukai untuk premium insurans pendidikan, perubatan dan kesihatan daripada RM4,000 kepada RM6,000 di bawah Belanjawan 2026.
“Perlindungan yang mencukupi untuk 10 tahun lalu mungkin tidak lagi memadai pada hari ini disebabkan inflasi dan peningkatan kos perubatan. Peningkatan had pelepasan cukai akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia meningkatkan perlindungan mereka,” kata beliau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial