AM

YAPEIM Salur Bantuan Kepada 55 Pengamal Media

08/10/2025 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Sebanyak 55 pengamal media termasuk bekas pengamal media menerima sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menerusi bantuan tunai serta sokongan peralatan perubatan yang keseluruhan berjumlah RM55,500. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata daripada jumlah itu, 50 orang menerima sumbangan tunai bernilai RM1,000 setiap seorang manakala lima lagi mendapat bantuan sokongan peralatan perubatan dengan nilai keseluruhan RM5,500.

"Sumbangan ini diutamakan kepada keluarga miskin, kumpulan B40 serta mereka yang berada di bawah garis kemiskinan bertujuan meringankan beban ketua keluarga serta menyantuni mereka yang memerlukan," katanya dalam ucapan pada Majlis Apresiasi dan Amal YAPEIM Bersama Media 2025 di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Abdul Khudus Mohd Naaim, Ketua Pengarah YAPEIM Zabidi Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat Bernama Mariati Mohd Arif, serta kira-kira 130 pengamal media daripada pelbagai latar belakang agensi media.

Mohd Na'im berkata inisiatif YAPEIM itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan dengan media malah membuktikan rasa kebersamaan dalam mengangkat kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata media adalah rakan strategik kepada mana-mana agensi, termasuk YAPEIM dan peranannya sangat besar bukan sekadar menyebarkan maklumat dan agenda kerajaan malah mendidik masyarakat, membina persepsi serta memacu kefahaman awam.

"Sama ada akhbar, radio, televisyen mahupun media sosial kesannya amat luas, mampu membentuk cara fikir rakyat sama ada secara positif atau sebaliknya. Media yang beretika sudah tentu memastikan laporan yang disampaikan bebas daripada fitnah, sangkaan jahat dan berita palsu," katanya. 

Mohd Na’im berkata tahun lepas, YAPEIM telah menyumbangkan RM50,000 dalam bentuk RM1,000 seorang kepada 50 pengamal media serta penggiat seni tanah air  yang memerlukan, seperti mereka yang ditimpa musibah dan mempunyai masalah kewangan. 

Beliau berkata usaha itu direalisasikan dengan kerjasama Kelab Media KL dan Selangor (KLS), Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA), Kelab Media Putrajaya (KMP), Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan Tabung Kasih @ HAWANA yang telah mengenal pasti penerima dalam kalangan pengamal media serta bekas pengamal media.

Selain itu, beliau berkata 10 pengamal media sambilan yang tidak bernaung di bawah mana-mana persatuan turut disantuni bagi membolehkan mereka menerima manfaat yang sama sekali gus membantu meringankan beban kewangan masing-masing.

"Justeru, kerjasama erat daripada kelima-lima persatuan serta 10 pengamal media sambilan ini telah memungkinkan YAPEIM merealisasikan hasrat murni untuk membantu sama ada para wartawan, jurugambar, jurukamera, mahupun bekas pengamal media dan penggiat seni yang memerlukan," katanya.

Hingga September lepas, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM721 juta membabitkan lebih 10 juta penerima manfaat di seluruh negara sejak 1985, menerusi pelbagai teras program seperti pembangunan ekonomi Islam, pembangunan pendidikan dan pembangunan kemasyarakatan yang dilakukan secara inklusif dan sistematik.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan