AM

Lebuhraya LEKAS Ditutup Sementara 11 Okt Malam Untuk RHB Highway Ride 2025

07/10/2025 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS) akan ditutup sepenuhnya dari 5 petang, 11 Okt hingga 4 pagi, 12 Okt bagi memberi laluan kepada acara berbasikal malam RHB LEKAS Highway Ride 2025 edisi ke-10.

Ketua Pegawai Eksekutif LEKAS Wan Salwani Wan Yusoff berkata acara berprestij itu menarik penyertaan 6,017 peserta dari 23 negara, sekali gus mencerminkan daya tarikan antarabangsa yang semakin meningkat.

Beliau berkata, LEKAS telah memperoleh semua kelulusan berkaitan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pelan pengurusan trafik, selain kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk penganjuran acara tersebut.

“Sepanjang acara berlangsung, kira-kira sembilan persimpangan melibatkan 20 laluan masuk dan keluar akan ditutup bagi memastikan perjalanan lancar dan keselamatan terjamin. Penutupan meliputi jajaran dari Persimpangan Kajang Selatan hingga Persimpangan Paroi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Salwani turut merakamkan penghargaan kepada PDRM atas kerjasama menempatkan anggota dari Kajang, Semenyih, Nilai, Mantin dan Seremban bagi mengawal lalu lintas serta keselamatan pengguna jalan raya.

Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif termasuk Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) atau Jalan Persekutuan 1 sepanjang tempoh penutupan, selain merancang perjalanan lebih awal.

Maklumat terkini boleh diperoleh melalui saluran rasmi LEKAS di X (Twitter) @LEKAStrafik, Facebook LEKAS Highway, Instagram @lekashighway atau talian Infoline 1-800-88-8021.

Pihak LEKAS memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna sepanjang tempoh penutupan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan