CYBERJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Hari Habitat Sedunia merupakan pengiktirafan terhadap peranan pihak berkuasa tempatan sebagai wira barisan hadapan dalam memperkukuh daya tahan masyarakat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata majlis perbandaran, pihak berkuasa perbandaran dan pejabat daerah merupakan agensi tempatan yang paling cepat bertindak balas apabila masyarakat menghadapi gangguan, daripada banjir hingga kerosakan perumahan.
“Pengalaman Malaysia, sama ada dalam menggerakkan bantuan banjir dengan pantas, menyelaras pusat perlindungan kecemasan atau melaksanakan projek perintis bandar pintar, membuktikan bahawa pihak berkuasa tempatan yang kukuh dan berkeupayaan merupakan tulang belakang kepada pembangunan bandar yang berdaya tahan.
“Kepimpinan mereka amat penting bagi memastikan perumahan, tanah dan perkhidmatan asas kekal dapat diakses, di samping memperjuangkan penyelesaian inklusif dan mampan untuk melindungi rakyat, termasuk golongan miskin bandar, wanita, kanak-kanak dan warga emas,” katanya pada sambutan Hari Habitat Sedunia 2025 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata pemberian keupayaan diperlukan kepada pihak berkuasa tempatan seperti akses kepada data masa nyata, pembiayaan mencukupi serta jalinan kerjasama kukuh dengan komuniti, adalah kunci untuk membangunkan bandar dan pekan yang lebih sesuai serta berdaya tahan.
Menurut Nga, strategi menyeluruh di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) menyokong visi berkenaan menerusi pelaksanaan rangka kerja kebangsaan seperti Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia dan Pelan Induk Migitasi Banjir yang memberi tumpuan kepada inovasi digital serta pengurangan risiko bencana.
Sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat, Nga berkata Malaysia menerajui usaha memperjuangkan pengintegrasian Agenda Bandar Baharu ke dalam kerangka tindakan global perubahan iklim, khususnya di bawah Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
“Ia bagi memastikan konsep kelestarian bukan sekadar perbincangan, tetapi diterjemahkan kepada strategi yang boleh dilaksanakan serta menghasilkan impan yang boleh diukur di peringkat tempatan,” katanya.
Dalam ucapannya, Nga berkongsi tiga aspirasi utama bagi memastikan kepimpinan berterusan Malaysia dalam membangunkan bandar yang lestari, inklusif dan berdaya tahan.
Beliau berkata aspirasi pertama ialah memperkukuh pembangunan bandar lestari Malaysia serta memperkukuh kepimpinan global negara melalui pencapaian dalam bidang perumahan mampu milik, pengurusan risiko bencana dan perancangan bandar berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
“Aspirasi kedua ialah memperkasakan pihak berkuasa tempatan dengan sumber, kapasiti dan autonomi yang diperlukan untk bertindak balas terhadap krisis dengan pantas dan berkesan, manakala aspirasi ketiga ialah memperkukuh kerjasama serantau dan global supaya kita dapat bersama-sama membangunkan penyelesian bermakna dan berkekalan bagi populasi yang terjejas, serta memastikan tiada masyarakat ketinggalan,” katanya.
Bertemakan Urban Crisis Response, sambutan Hari Habitat Sedunia 2025 menekankan keperluan menangani pelbagai cabaran dihadapi bandar termasuk perubahan iklim, konflik dan ketidak samaan sambil menggalakkan penyelesian bersakal besar serta transformasi yang dapat menstabilkan populasi dan memperkukuh perpaduan sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial