AM

Dewan Rakyat: Sesi MQT Ditiadakan Hari Ini, PM Anwar Dititah Ke Istana Negara

07/10/2025 11:32 AM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini ditiadakan susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dititah oleh Majlis Raja-Raja untuk hadir ke Istana Negara pagi ini.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, Perdana Menteri dijadual menjawab dua soalan pada sesi berkenaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan perkara itu sebaik persidangan Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi ini.

“Sepatutnya pagi ini kita ada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, dengan dua soalan yang telah dikemukakan oleh (Yang Berhormat) Paya Besar (Datuk Mohd Shahar Abdullah-BN) dan Masjid Tanah (Datuk Mas Ermieyati Samsudin-PN).

“Namun saya difahamkan bahawa Perdana Menteri tidak dapat hadir pada pagi ini kerana dititah oleh Majlis Raja-Raja untuk berada di Istana Negara pada pukul 10 pagi,” katanya.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan supaya sesi MQT ditiadakan dan persidangan Dewan Rayat diteruskan dengan sesi soal jawab lisan. 

Usul untuk menangguhkan sesi MQT itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 14(2) dan disokong oleh Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Johari kemudiannya memaklumkan bahawa dua soalan yang dikemukakan pada sesi MQT itu akan dijadualkan semula pada sesi lain tanpa perlu dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Mohd Shahar bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai pendirian Malaysia terhadap pelan damai yang pernah dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump, berhubung konflik Palestin-Israel.

Sementara Mas Ermieyati pula mengajukan soalan berhubung tahap persediaan kerajaan dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) khususnya dari segi promosi antarabangsa serta penglibatan kerajaan negeri.

MQT yang diadakan setiap Selasa memperuntukkan ruang kepada Ahli Parlimen untuk mengemukakan soalan secara langsung kepada Perdana Menteri mengenai pelbagai isu semasa, manakala sesi sama pada Khamis pula dijawab oleh menteri Kabinet.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan