POLITIK

Hubungan Baik Sabah-Persekutuan Penting Untuk Masa Depan Negeri - Hajiji

06/10/2025 06:01 PM

KOTA KINABALU, 6 Okt (Bernama) – Hubungan dan kerjasama baik antara Kerajaan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh demi masa depan negeri yang lebih baik.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor berkata hubungan erat antara negeri dan Persekutuan adalah amat penting untuk melonjakkan lagi kemajuan Sabah, justeru kerjasama mantap yang terjalin pada masa ini perlu dikekalkan dan diteruskan pada masa hadapan.

“Sekarang, kerajaan negeri terdiri daripada GRS dan PH (Pakatan Harapan). Hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan sangat positif. Semasa PH, kita menerima sembilan penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk Sabah. Jadi, kita perlu teruskan hubungan baik ini.

“Kita mesti sedar bahawa hubungan antara negeri dan Persekutuan amat penting untuk masa depan dan kemajuan Sabah. Kenapa kita harus bergaduh dengan kerajaan Persekutuan?” katanya pada sidang media dalam Majlis Perjumpaan Bersama Wakil Rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Terdahulu, Hajiji mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 yang berkuat kuasa hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kepentingan hubungan antara negeri dan Persekutuan, Hajiji Noor berkata kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara harus sentiasa dijaga, sejajar dengan usaha Sabah menuntut dan mempertahankan hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Itu kepercayaan saya. Jangan kita jaga kepentingan negeri tetapi merosakkan kepentingan negara,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hajiji berkata keputusan membubarkan DUN Sabah mencerminkan komitmen Kerajaan Sabah terhadap demokrasi dan proses perlembagaan.

“Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan, membina Sabah yang lebih kukuh, makmur dan bersatu untuk semua.

“Besar harapan saya agar keputusan pilihan raya kelak akan mengukuhkan suara rakyat, menjaga kestabilan dan keselamatan, serta memastikan kemajuan berterusan untuk Sabah tercinta,” katanya.

Sepanjang lima tahun lepas, Hajiji berkata Kerajaan Sabah telah bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan serta pertumbuhan bermakna kepada negeri dan rakyat melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata Sabah telah mencapai kemajuan sebenar berpandukan tiga tonggak utama dalam pelan SMJ yang bersifat holistik serta inklusif merangkumi Pertanian, Industri dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau

“Tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran diwarisi ini yang telah membebankan rakyat sejak sekian lama. Beberapa inisiatif telah disiapkan, sementara sebahagian lain sedang berjalan untuk diselesaikan.

“Sabah telah mengukuhkan ekonominya, menarik pelaburan baharu bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meluaskan bantuan pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan sosial semua lapisan masyarakat,” katanya, sambil menambah pencapaian itu adalah hasil kepercayaan, sokongan dan visi bersama rakyat untuk Sabah yang lebih baik.

Bagaimanapun, Hajiji berkata usaha itu belum selesai dan cabaran baharu menuntut penyelesaian berani untuk membawa Sabah ke lembaran seterusnya.

Susulan pembubaran DUN Sabah hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, Hajiji berkata Sabah kini ditadbir oleh kerajaan interim dan beliau akan menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan