EKONOMI

Naratif Ekonomi Malaysia Telah Berubah Sejak Dua Tahun Lepas - PM Anwar

06/10/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa naratif ekonomi Malaysia telah berubah daripada tidak menentu kepada pulih dan langkah-langkah defensif kepada penstrukturan semula yang proaktif sejak dua tahun lepas.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun pertumbuhan negara kekal stabil, inflasi terkawal dan kadar pengangguran rendah, kejayaan tidak diukur daripada keselesaan situasi yang stabil tetapi kesediaan untuk mendepani cabaran seterusnya.

Beliau berkata pelabur memahami bahawa hala tuju konsolidasi fiskal Malaysia adalah mengenai pengurusan berhemat dan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan mempunyai matlamat yang jelas.

“Keyakinan meningkat apabila kerajaan berani membuat pembaharuan dan seiring dengan langkah untuk berbelanja secara strategik.

“Pertumbuhan modal perlu sentiasa sejajar dengan usaha pengembangan demi keadilan sosial, selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” kata beliau dalam ucapan khas pada Khazanah Megatrends Forum 2025 hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir serta Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Menurut Perdana Menteri, pendekatan Malaysia terhadap risiko adalah berteraskan tadbir urus yang baik — tanpanya, risiko menjadi alasan untuk mengambil langkah secara sembrono dan dengan tadbir urus, risiko menjadi elemen penting kepada inovasi.

“Institusi seperti Khazanah perlu terus menerapkan falsafah ini — tugas mereka bukan sekadar mencari keuntungan, malah mengimbangi pulangan komersial dengan pembangunan negara.

“Khazanah juga perlu terus menjadi peneraju pembangunan inklusif, memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia biasa,” kata beliau.

Anwar berkata cabaran kerajaan ialah menerajui Malaysia melalui ketidaktentuan global dengan baik.

KMF 2025 merupakan edisi ke-20 pada tahun ini dengan tema “Debugging Uncertainty: Lessons from the Grasshopper and the Ant on Living with Risk” berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Mandarin Oriental Hotel di sini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan