AM

Pasaran Karbon Artikel 6 Dijangka Beroperasi 2026

06/10/2025 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) - Malaysia menjangkakan mekanisme pasaran karbon pematuhan di bawah Artikel 6 Perjanjian Paris dapat beroperasi seawal tahun depan bagi menyokong pelaksanaan komitmen negara terhadap pengurangan gas rumah hijau (GHG).

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, dua mekanisme utama sedang dibangunkan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) ialah pendekatan kerjasama dua hala di bawah Artikel 6.2 serta mekanisme perdagangan yang diuruskan UNFCCC dikenali sebagai Paris Agreement Crediting Mechanism (PACM) di bawah Artikel 6.4.

Beliau berkata pelaksanaan kedua-dua mekanisme itu membolehkan projek karbon di Malaysia menyumbang kepada pengurangan pelepasan GHG, memperkukuh keupayaan teknologi tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan hijau.

“Ketika ini, kementerian sedang memuktamadkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (TPGG) yang menetapkan asas pelaksanaan Artikel 6.2 dan Artikel 6.4 serta menyokong penubuhan pasaran karbon sukarela di bawah Bursa Carbon Exchange (BCX) yang dilancarkan pada 25 Sept 2023,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai tahap ketersediaan serta perkembangan ekosistem pasaran dagangan karbon negara dan jumlah memorandum persefahaman (MoU) dua hala yang telah dimeterai kerajaan bagi pasaran kredit karbon menurut Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) di bawah Artikel 6.2 Perjanjian Paris.

Huang berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan permohonan projek di bawah Clean Development Mechanism (CDM) untuk diselaraskan dengan mekanisme pasaran pematuhan Artikel 6.4.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Malaysia telah menandatangani dua MoU bagi kerjasama dua hala di bawah Artikel 6.2 melibatkan masing-masing dengan Republik Korea pada 25 Nov 2024 dan Singapura pada 7 Jan lepas.

“Melalui MoU ini, kedua-dua negara boleh membuat pelaburan bagi pelaksanaan projek karbon di Malaysia,” katanya.

Huang turut menjelaskan bahawa beberapa komponen teknikal di bawah Artikel 6.4 sedang dibangunkan, termasuk penubuhan badan kawal selia, penetapan garis panduan asas metodologi dan aktiviti penyerapan karbon serta registri sementara bagi merekodkan aktiviti dan urus niaga karbon.

“Namun, elemen teknikal seperti metodologi khusus, pendaftaran  lengkap dan prosedur pelarasan masih belum dimuktamadkan, menyebabkan kredit karbon belum dapat dikeluarkan secara rasmi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Shahar mengenai status pelaksanaan Artikel 6.4 dan tahap kesiapsiagaan Malaysia.

Beliau berkata penglibatan syarikat tempatan dalam pasaran karbon dijangka lebih rancak sebaik Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dilaksanakan, yang akan menetapkan tatacara penyertaan dalam pasaran karbon pematuhan di bawah Artikel 6.

Malaysia Forest Fund (MFF) turut ditubuhkan bagi menggalakkan pembangunan projek karbon berasaskan hutan dan memudah cara pelaksanaannya oleh syarikat tempatan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai usaha meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam penjanaan kredit karbon.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan