AM

Bernama Adakan Kunjungan Hormat Ke Atas KSN Shamsul Azri

02/10/2025 08:59 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Pengurusan tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, di pejabat beliau di Bangunan Perdana Putra.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, mengetuai delegasi 10 pegawai kanan termasuk Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.

Berkongsi mengenai pertemuan itu di laman Facebook rasminya, Shamsul Azri berkata kunjungan itu membuka ruang perbincangan yang amat bermakna mengenai hala tuju Bernama, sebagai agensi berita nasional yang berperanan penting dalam menyampaikan maklumat sahih, pantas dan berintegriti kepada rakyat.

“Kami turut bertukar pandangan tentang usaha memperkukuh penyampaian berita pada era digital, serta inisiatif bagi meningkatkan keberkesanan peranan media dalam menyokong agenda pembangunan negara,” katanya.

Terdahulu, Nur-ul Afida menandatangani buku pelawat dan mengadakan pertemuan hampir 30 minit dengan Shamsul Azri, yang antara lain menyentuh mengenai perkhidmatan yang ditawarkan Bernama selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi.

Bercakap kepada Bernama usai pertemuan itu, Nur-ul Afida berkata pertemuan itu membuka ruang kepada pelbagai perbincangan strategik, termasuk cadangan memperluas kursus dan latihan kewartawanan yang ditawarkan Bernama School of Journalism ke peringkat diploma.

“Kami mengambil peluang ini untuk memberi taklimat tentang Bernama dan peranannya, termasuklah mengenai produk dan perkhidmatan terkini seperti Bernama Mobile Studio yang menggunakan motorhome untuk membuat liputan dan siaran secara langsung.

“Pada masa yang sama, turut dikongsikan tentang perkhidmatan komersial serta usaha Bernama untuk menjana pendapatan...Alhamdulillah, beliau juga berkongsi pandangan dan cadangan bagaimana Bernama boleh memperluas lagi perkhidmatan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata pertemuan bersama KSN itu, membuka ruang untuk kerjasama lebih erat antara Bernama dan pelbagai kementerian serta agensi kerajaan lain, dalam usaha memperluas capaian dan keberkesanan komunikasi kerajaan kepada rakyat.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan