EKONOMI

Sentimen Perniagaan Bertambah Baik Susulan Indeks RAM BCI Meningkat Pada Suku Ketiga 2025

02/10/2025 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (RAM BCI) bertambah baik kepada 48.4 pada suku ketiga 2025 daripada 40.0 pada suku kedua yang mencerminkan peningkatan ketara dalam sentimen perniagaan untuk tiga bulan akan datang.

RAM Holdings Bhd (RAM Holdings) dalam satu kenyataan hari ini berkata pemulihan dalam indeks keseluruhan meluas dengan semua sub-indeks menunjukkan peningkatan dari suku ke suku kecuali sub-indeks pengambilan pekerja.

 "Walaupun peningkatan dari titik terendah pada suku kedua menunjukkan sedikit kelegaan dalam tekanan perniagaan, indeks masih berada di bawah ambang neutral 50 dan ia menekankan kewaspadaan yang berterusan dalam kalangan syarikat-syarikat yang dikaji.

"Pemulihan dalam sentimen ini konsisten dengan pengurangan ketidaktentuan perdagangan global susulan perjanjian perdagangan AS-Malaysia pada awal Ogos dimuktamadkan," kata agensi penarafan berkenaan.

Menurut RAM Holdings, pelaksanaan invois elektronik (e-invoicing) dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikenal pasti sebagai langkah yang paling penting terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, kira-kira 37 peratus syarikat menganggap invois elektronik sebagai cabaran utama manakala 34 peratus pula menyatakan peluasan SST.

Jelasnya lagi, semakan semula struktur tarif elektrik juga diketengahkan walaupun dalam skala yang lebih kecil kerana kebanyakan syarikat meletakkannya di tempat ketiga atau keempat dari segi impak.

“Kenaikan gaji minimum dan pemansuhan subsidi diesel dilihat sebagai yang paling kurang membebankan daripada lima langkah yang dinilai,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan RAM Holdings Chris WK Lee berkata pembaharuan fiskal seperti invois elektronik dan peluasan SST merupakan langkah penting untuk memperkukuh asas hasil Malaysia.

"Namun, dapatan tinjauan kami menunjukkan perniagaan terutamanya PKS sedang menghadapi kesukaran untuk beralih dan menyesuaikan diri dengan persekitaran peraturan baharu.

“Apabila kita menuju ke Belanjawan 2026, ia penting bagi pembuat dasar untuk mencari keseimbangan antara memperluaskan asas cukai selain menyokong ketahanan perniagaan yang akan menjadi kunci untuk meningkatkan keyakinan perniagaan dan mengekalkan daya saing jangka panjang Malaysia,” katanya.

Lima aspek perniagaan yang ditinjau serta dikaji iaitu perolehan, keuntungan, pengambilan pekerja, pelaburan modal dan penggunaan kapasiti.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan