EKONOMI

Kemudahan Berpusat Proton Di Tanjong Malim Lonjak Kapasiti, Kalis Masa Depan

02/10/2025 04:56 PM

Oleh Zairina Zainudin dan Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Keputusan Proton Holdings Bhd untuk menumpukan kemudahan pengeluaran berpusat di Tanjong Malim, Perak, adalah langkah strategik bagi merasionalisasi, mengurangkan kos, meningkatkan kualiti serta beralih kepada teknologi baharu selepas membuat pelaburan sebanyak RM253 juta bagi fasiliti stamping di kawasan itu.

Sehubungan itu, penutupan kilang pengeluaran ikoniknya di Shah Alam, Selangor, selepas beroperasi selama empat dekad, perlu dilihat secara positif, malahan kegagalan menerima transformasi itu boleh menjejaskan keupayaan Proton untuk mencapai kemajuan bagi memastikannya kalis masa depan.

“Adakalanya, keputusan berani itu penting demi mengorak langkah bagi masa depan lebih kukuh dan membolehkan berdaya saing,” kata penganalisis automotif dan editor Electronikar Shamsul Yunos kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai keputusan Proton.

Beliau berkata berbanding tumpuan terhadap kilang atau saiz semata-mata, keputusan pengeluar kereta nasional itu jelas memaparkan visi untuk kekal kompetitif dengan melonjakkan aspek skala ekonominya.

“Ini satu langkah yang tepat pada masanya dan sejajar dengan pelan jangka panjang syarikat itu,” katanya.

Shamsul berkata keputusan Proton itu juga bukannya dibuat dalam tempoh singkat tetapi telah dibangkitkan pada 2024.

Proton juga telah mengumumkan bahawa pengeluaran model Proton Saga di kilang pengeluaran Shah Alam akan berpindah menjelang 2026, disokong oleh pelaburan RM253 juta dalam barisan fasiliti stamping baharu bagi melonjakkan output komponen tempatan selain mengurangkan kebergantungan terhadap import -- langkah kritikal bagi membangunkan daya tahan rantaian bekalan.

Selain itu, Proton turut membuat pelaburan RM82 juta dalam kemudahan kilang kenderaan elektrik (EV) dalam kompleks pengeluarannya di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim.

Kilang di Shah Alam itu dimiliki oleh DRB-HICOM, konglomerat yang memegang 50.1 peratus kepentingan ekuiti dalam Proton manakala baki pegangan pula dimiliki kumpulan automotif berpangkalan di China, Zhejiang Geely Holding Group yang turut mengendalikan beberapa jenama lain seperti Volvo, Lotus, Smart, Geely, Zeekr serta Polestar.

Mengulas peralihan Proton kepada EV, Shamsul menyifatkan teras keutamaannya adalah aspek rasionalisasi bagi barisan pengeluarannya, termasuk melibatkan penyepaduan dengan enjin 4-silinder.

Proton telah menghentikan enjin turbo 3-silinder apabila bekerjasama dengan Geely dan menggunakan rangkaian enjin 4-silinder yang lebih canggih.

Peralihan berkenaan tidak hanya meningkatkan aspek prestasi serta kecekapan bahan api, tetapi juga keselesaan pemanduan yang seiringan dengan piawaian global bagi model Proton.

“Mereka menumpukan penggunaan enjin (4-silinder) yang diperkenalkan dalam (model kenderaan) X50. Oleh itu, semua model lain akan turut dilengkapi dengan enjin dalam kumpulan keluarga sama,” katanya.

Shamsul juga berpendapat peralihan lokasi itu bukan satu isu kerana secara geografi, Tanjong Malim terletak berhampiran dengan Kuala Lumpur.

Pada masa sama, kehadiran pengeluar automotif seperti Perodua, Nissan, Chery, Proton serta BYD di kawasan berhampiran akan mewujudkan sebuah hab automotif yang kukuh selain memantapkan lagi rangkaian bekalan.

“Sehubungan itu, lebih baik berada di sebuah kawasan yang menjadi tumpuan industri automotif agar semua pembekalan turut beralik ke sana. Ini sememangnya baik dari segi rantaian bekalan,” katanya.

Beliau juga percaya langkah itu akan memberi kelebihan dari segi logistik, terutamanya selepas Tanjong Malim mempunyai kemudahan laluan kereta api dan kerajaan telah memulakan kajian menambahbaik penggunaan kemudahan itu, termasuk memanfaatkan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mengangkut kargo.

Perodua juga, katanya, sedang meneroka penggunaan ECRL untuk membawa kenderaan ke Kuantan serta kemungkinan besar ke Malaysia Timur.

Selain itu, Proton turut mempertimbang bagi membangunkan laluan khusus ke Tanjong Malim yang memudahkan bagi alat atau komponen diangkut secara langsung menggunakan kereta api.

Kilang Tanjong Malim seluas 2.2 hektar itu akan mengeluarkan barisan model EV Proton e.MAS 7 dalam fasa pertamanya dan disusuli dengan e.MAS 6 bagi fasa kedua, namun tiada sebarang tempoh atau tarikh diumumkan setakat ini.

Kemudahan pengeluaran itu mempunyai kapasiti pengeluaran kira-kira 20,000 unit EV setahun dalam fasa pertama dan seterusnya ditambah kepada 45,000 unit setahun apabila beroperasi sepenuhnya.

Kilang itu juga dilengkapkan dengan sistem digital maju dan kawasan khusus EV untuk tujuan pemasangan bateri, pengujian elektrikal serta integrasi bagi bahagian bawah EV.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan