AM

Pindaan Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti-piramid Beri Pengguna Perlindungan Lebih Baik

02/10/2025 02:47 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Pindaan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (AJLSAP 1993) bertujuan memberi perlindungan lebih baik kepada pengguna serta wakil jualan sah agar tidak terperangkap dengan syarikat bermasalah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata persiapan untuk meminda sedang dilakukan dan langkah itu penting bagi memastikan undang-undang Malaysia setanding negara lain agar industri itu lebih berdaya saing, seiring perkembangan pesat dan peredaran zaman.  

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited untuk terus membimbing dan memastikan integriti industri jualan langsung di Malaysia melalui pematuhan undang-undang dan pencegahan aktiviti tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuziah berkata pemain industri juga perlu bekerja lebih keras untuk mengatasi persepsi masyarakat yang masih keliru antara jualan langsung sah dengan skim piramid kerana stigma itu melemahkan keyakinan pengguna dan menjejaskan reputasi syarikat jualan langsung yang sah

Selain itu, Fuziah berkata KPDN menawarkan beberapa solusi antaranya bantuan dalam advokasi pengguna bagi memberi kesedaran dan pendidikan untuk mengutamakan produk tempatan termasuk produk jualan langsung berlesen dan pada masa sama mengelakkan skim piramid atau produk tiruan.

“Ini bagi meningkatkan imej industri supaya dilihat sebagai antara penyumbang kepada ekonomi dan peluang keusahawanan rakyat,” katanya.

Fuziah berkata KPDN juga menggalakkan pengusaha jualan langsung bekerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan mendaftar perniagaan, produk atau penemuan saintifik yang memerlukan perlindungan paten.

Ini kerana cap dagang yang berdaftar menjadi aset syarikat, selain boleh dilesenkan atau dijadikan pegangan pelaburan dan dilihat lebih sah, dipercayai, tidak mudah dipalsukan serta membantu syarikat mengambil tindakan terhadap pihak yang meniru atau menjual produk tiruan.

Fuziah berkata antara agenda utama KPDN untuk menyokong produk tempatan termasuk daripada industri jualan langsung ialah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang turut membantu mengangkat produk dan menyokong usahawan tempatan serta membuka jalan ke pasaran global. 

Tahun lepas, industri jualan langsung mencatatkan nilai jualan sebanyak RM34.4 bilion, meningkat 7.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, meletakkan Malaysia pada kedudukan keenam dunia dan keempat Asia Pasifik dengan kadar penembusan pasaran tertinggi di dunia iaitu 2.28 peratus.

Kenyataan sama memaklumkan Fuziah menerima kunjungan hormat wakil Persatuan Pembangunan Industri Jualan Langsung Malaysia (MDSIDA) yang diketuai presidennya Datuk Seri Barani Karunakaran.

MDSIDA yang dahulunya dikenali sebagai Persatuan Pengedaran Langsung Malaysia (MDDA) merupakan rakan strategik KPDN dalam mempromosikan industri jualan langsung di peringkat nasional dan antarabangsa.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan