KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal positif pada tengah hari ini berikutan momentum belian berterusan sepanjang sesi dagangan pagi, didorong oleh kaunter penjagaan kesihatan, produk perindustrian dan pengguna serta perkhidmatan, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 10.93 mata atau 0.67 peratus kepada 1,631.80 daripada 1,620.87 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.81 mata kepada 1,621.68 dan bergerak antara 1,621.68 dan 1,633.86 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran menggalakkan dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 738 berbanding 330 manakala 461 kaunter tidak berubah, 1,044 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.57 bilion unit bernilai RM1.72 bilion.
Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam nota penyelidikan, pihaknya mengekalkan pandangan positif terhadap FBM KLCI yang memasuki suku keempat dan lazimnya mencatatkan prestasi baik.
“Kami melihat potensi untuk menguji semula paras halangan 1,625 hingga 1,640 menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober, yang dijangka akan mengimbangi langkah-langkah mesra rakyat dengan fiskal berhemat.
“Sentimen risiko yang lebih baik dan potensi kemasukan semula aliran asing turut menyokong kecenderungan positif menjelang akhir tahun, dengan ruang untuk mengurangkan penurunan setakat ini sebanyak 1.3 peratus,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare melonjak 31 sen kepada RM8.25, CIMB meningkat 9.0 sen kepada RM7.54, Tenaga naik 12 sen kepada RM13.22, Petronas Chemicals menambah 8.0 sen kepada RM4.33 dan Maybank menokok 4.0 sen kepada RM9.99.
Dalam dagangan aktif, Camaroe yang mula disenaraikan di Pasaran ACE dan VS Industry, masing-masing naik 2.0 sen kepada 16 sen dan 62 sen, Pharmaniaga menambah setengah sen kepada 29 sen, SNS meningkat 5.0 sen kepada 74 sen dan CBHB menokok 4.5 sen kepada 51.5 sen.
Selain IHH Healthcare, kaunter paling untung ialah Malaysian Pacific Industries, melonjak 86 sen kepada RM29.76, UWC naik 39 sen kepada RM4.24, Vitrox meningkat 35 sen kepada RM4.30 dan Allianz menokok 34 sen kepada RM18.74.
Bagi kaunter paling rugi, Nestle merosot 66 sen kepada RM96.74, Hume Cement Industries berkurangan 13 sen kepada RM3.30, United Plantations susut 12 sen kepada RM22.90, Plenitude menurun 8.0 sen kepada RM2.23 dan Kuala Lumpur Kepong merosot 8.0 sen kepada RM20.54.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 92.01 mata kepada 12,147.78, Indeks FBMT 100 meningkat 89.71 mata kepada 11,879.25, Indeks FBM Emas Shariah menambah 99.77 mata kepada 12,178.17, Indeks FBM 70 menokok 172.90 mata kepada 17,021.79 dan Indeks FBM ACE naik 77.99 mata kepada 5,281.27.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.48 mata kepada 173.98, Indeks Tenaga naik 0.68 mata kepada 779.03, Indeks Perladangan menambah 4.78 mata kepada 7,7792.89 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 125.60 mata kepada 18,535.37.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial