AM

ESUM Lancar Program "English On Wheels" Untuk Pelajar Luar Bandar

30/09/2025 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- English Speaking Union of Malaysia (ESUM) akan melancarkan program English on Wheels, sebuah inisiatif mudah alih untuk menjadikan pembelajaran bahasa Inggeris lebih menyeronokkan bagi pelajar luar bandar, dan meningkatkan keyakinan dan kemahiran berucap dalam kalangan belia.

Pengerusi ESUM Tunku Dara Tunku Tan Sri Naquiah Tuanku Ja’afar berkata projek itu, yang diinspirasikan daripada konsep perpustakaan bergerak, akan melibatkan sukarelawan mengunjungi sekolah dan universiti di seluruh negara, khususnya di kawasan yang kurang mendapat perhatian, untuk mengendalikan sesi interaktif bahasa Inggeris termasuk bengkel pengucapan awam.

"Kami berhasrat mengunjungi sekolah dan mengajar bahasa Inggeris dengan cara menyeronokkan selama beberapa hari," katanya kepada pemberita selepas English Speaking Union (ESU) International Council Meeting 2025 (ICM) di sini hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung dari 29 Sept hingga 2 Okt itu menghimpunkan peserta dari 10 negara, iaitu Britain, Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Sri Lanka, Hong Kong, Mongolia, Bulgaria, Lithuania dan Pakistan, untuk membincangkan pengukuhan bahasa Inggeris sebagai bahasa global.

Tunku Naquiah berkata ESUM merekodkan kejayaan di Cameron Highlands apabila para sukarelawan menganjurkan hari aktiviti dengan komuniti Orang Asli.

Mengulas mengenai kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia, Tunku Naquiah berkata antara puncanya ialah latihan yang tidak mencukupi untuk guru bahasa Inggeris.

"Sebelum ini, kami biasanya menghantar guru ke England, sama ada Kirby atau Brinsford Lodge selama dua tahun untuk mempelajari bahasa Inggeris dan kaedah mengajar. Apabila mereka pulang, guru ini mempunyai kemahiran yang kukuh dan dapat mengajar bahasa Inggeris dengan berkesan," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya guru yang sudah bersara dapat menyumbang kepada usaha ini serta menyarankan agar bakal guru bahasa Inggeris menjalani latihan khusus selama setahun di institut perguruan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan