KUCHING, 29 Sept (Bernama) -- Sarawak kini berada dalam keadaan siapsiaga menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka melanda bermula November hingga Mac 2026, dengan lebih 7,000 anggota barisan hadapan, kira-kira 12,000 aset logistik serta pasukan sukarelawan digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata seramai 7,407 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), sudah digerakkan.
“Dari segi aset, kita ada 3,637 aset darat termasuk kenderaan pelbagai guna, 8,619 aset air termasuk bot, serta 14 aset udara seperti helikopter dan dron.\
“Selain itu, seramai 22,428 sukarelawan turut digerakkan sebagai tenaga sokongan di lapangan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut, di sini, hari ini.
Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata kerajaan negeri turut memperkukuh Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti (CERT) yang terdiri daripada jawatankuasa masyarakat di kampung dan rumah panjang bagi mengendalikan tindakan awal sekiranya berlaku bencana di pedalaman.
“Ini penting kerana ada kawasan yang jauh dan mengambil masa untuk jentera penyelamat tiba. Penduduk tempatan dilatih untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda dengan lebih awal,” katanya sambil menambah, banjir di Sarawak lazimnya berlaku antara Januari hingga Mac.
Mengenai kemudahan sokongan, beliau berkata sebanyak 658 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negeri, manakala JKM menyediakan satu depoh di Kota Samarahan dan 28 pangkalan hadapan bagi penyimpanan bekalan makanan serta keperluan asas.
“Kita sudah arahkan setiap residen memeriksa keadaan PPS dan membaiki kerosakan segera supaya ia dapat digunakan apabila diperlukan.
“Jabatan Kerja Raya Sarawak serta Jabatan Pengairan dan Saliran, bersama pihak berkuasa tempatan, turut diminta memantau laluan jalan raya, cerun dan lereng berbukit berisiko bagi mengelak kejadian tanah runtuh seperti di Miri sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata UKPS juga ditugaskan memimpin pasukan di lapangan bersama Immune Belt Enforcement Team (IBET) bagi memperkukuh keupayaan agensi penyelamat di peringkat akar umbi, selain menjadikan pengalaman banjir besar di Bintulu awal tahun ini sebagai pengajaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial