SEREMBAN, 28 Sept (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencipta sejarah baharu apabila memecahkan dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penganjuran Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata dua rekod tersebut ialah Penyertaan Gotong-Royong Teramai iaitu membabitkan 100,817 peserta di seluruh negara dan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Terbanyak dalam tempoh satu hari iaitu sebanyak 27,679.31 kilogram dengan nilai jualan RM79,684.56 .
"Pencapaian ini memecahkan rekod penyertaan gotong-royong HCM pada tahun lepas iaitu 58,007 orang. KPKT juga berjaya mencipta rekod baharu MBOR dengan pengumpulan minyak masak terpakai dari 10 negeri iaitu Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya sijil MBOR berkenaan disampaikan oleh wakil MBOR Siti Hajar Johor kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPKT Datuk Mohd Zamri Mat Zain semalam.
Nga berkata HCM 2025 juga mencatatkan kutipan sisa gotong-royong sebanyak 6,462 tan metrik sisa pepejal dari seluruh negara termasuk sisa plastik, sisa kebun, sisa kayu dan kertas serta sisa tekstil.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha tersebut bukan sahaja mencatat sejarah rekod baharu, malah menjadi simbol perpaduan rakyat.
"Ia membuktikan bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan generasi kini dan masa depan," katanya.
Beliau berkata kejayaan dua rekod MBOR itu membuktikan komitmen seluruh rakyat terhadap budaya kebersihan dan kelestarian alam sekitar selaras dengan aspirasi Malaysia yang bersih dan lestari.
Program yang menjadi kemuncak kepada agenda nasional kebersihan tersebut telah menghimpunkan ribuan sukarelawan dari pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama menjayakan aktiviti gotong-royong, pembersihan dan kitar semula.
Penganjuran HCM 2025 melibatkan penyertaan meluas seluruh negara merangkumi pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pendidikan, komuniti setempat, syarikat pembersihan (SWM), pemaju perumahan (PR1MA dan SPNB), persatuan industri, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali gus menjadikannya gotong-royong terbesar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial