PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan sokongan padu kepada Global Sumud Flotilla (GSF) untuk meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza.
Mengulas mengenai ancaman keselamatan terhadap GSF, beliau menegaskan bahawa misi tersebut harus diteruskan demi memastikan bantuan dapat disampaikan dan disalur kepada rakyat Palestin.
“(Kita) masih mengharapkan (agar misi ini) berterusan dan kezaliman, keganasan Israel mesti dihentikan sekarang," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Pasar Tani Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Presint 4 di sini hari ini.
Portal berita New Arab semalam melaporkan beberapa negara memberi amaran kepada rakyat masing-masing yang menyertai GSF bahawa mereka terdedah kepada serangan Israel pada bila-bila masa.
Seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum dijadual tiba di perairan Gaza akhir bulan ini.
Mereka merupakan sebahagian daripada aktivis dari 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan ke atas enklaf itu, dan cekal berdepan pelbagai rintangan serta ugutan termasuk serangan dron.
Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial