KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Lazada Malaysia mencatat prestasi tertinggi penah direkodkan pada kempen Jualan 9.9 Mega Brands tahun ini, apabila nilai purata pesanan (AOV) LazMall mentatat kenaikan 10 peratus tahun ke tahun berbanding pada 2024.
Dalam satu kenyataan, platform beli-belah maya itu berkata kempen 9.9 tahun ini menyaksikan LazMall, pasaraya maya terbesar di Asia Tenggara yang menghubungkan pembeli kepada 32,000 jenama utama tempatan dan antarabangsa, menunjukkan prestasi kukuh di seluruh rantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group Kaya Qin berkata pencapaian itu mencerminkan kematangan tingkah laku membeli-belah dalam talian, sekali gus menunjukkan pengguna semakin bersedia membayar untuk jaminan keaslian dan kebolehpercayaan yang dijamin oleh LazMall.
“Kami percaya ini adalah petunjuk yang kukuh hala tuju e-dagang Malaysia, dan LazMall berada pada kedudukan terbaik untuk membina kesetiaan jangka panjang serta meletakkan asas pertumbuhan mampan berasaskan jenama di negara ini,” katanya.
Sejak pelancaran pembantu kecerdasan buatan (AI) “Lazzie” pada Oktober lepas, Lazada mencatatkan peningkatan 32 peratus dalam interaksi proaktif bersama pembantu beli-belah berkuasa AI itu.
Ia menyumbang kenaikan 43 peratus dalam jumlah pesanan di seluruh Asia Tenggara semasa jualan 6.6 berbanding kempen mega sebelumnya.
Menurut Lazada, ketika jualan 9.9, AI Lazzie memainkan peranan utama dalam memacu penglibatan dan penukaran, mendorong peningkatan 53 peratus dalam interaksi, 34 peratus kenaikan dalam perbualan yang dimulakan oleh pembeli di Malaysia dan kenaikan 36 peratus dalam pesanan berbanding acara 6.6.
Presiden Lazada Group Iris Wei berkata AI Lazzie banyak mengubah cara pengguna menemui produk dan bagaimana jenama menjual dengan lebih cekap, sekali gus meletakkan asas bagi pertumbuhan mampan dalam ekonomi digital rantau ini.
“Dengan jualan berasaskan jenama yang masih kurang daripada 30 peratus daripada jumlah dagangan kasar (GMV) e-dagang di Asia Tenggara, kami melihat peluang yang sangat besar di hadapan,” kata Wei.
Beliau berkata dengan mempercepatkan pertumbuhan berasaskan jenama dan memanfaatkan potensi pasaran bernilai US$131 bilion (1 dolar AS = RM4.20) dengan dipacu teknologi GenAI menjelang 2030, Lazada sedang meletakkan asas bagi pertumbuhan mampan dalam ekonomi digital rantau ini.
Di Malaysia, beberapa kategori mencatatkan pertumbuhan semasa kempen 9.9, dengan pakaian wanita musim luruh/sejuk melonjak sebanyak 1,054 peratus tahun ke tahun, pertumbuhan tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran nombor satu Lazada untuk kategori ini.
Kategori lain yang turut mencatat prestasi cemerlang termasuk ibu dan bayi (naik 11 peratus), mainan dan permainan (38 peratus), barangan runcit (27 peratus), kesihatan (18 peratus), serta bekalan haiwan peliharaan (sembilan peratus).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial