Menjelang sambutan Perayaan Kuih Bulan atau Mid-Autumn Festival, lorong warisan Kwai Chai Hong di Chinatown (Jalan Petaling) di sini, bertukar wajah dengan pelbagai hiasan berwarna-warni.
Perayaan itu disambut pada hari ke-15 bulan kelapan kalendar lunar, dan tahun ini tarikh tersebut jatuh pada 6 Okt depan. Diraikan sebagai perayaan kedua terpenting selepas sambutan Tahun Baharu Cina, festival ini merupakan tanda kesyukuran bersempena dengan musim menuai.
Kwai Chai Hong yang juga dikenali sebagai Lorong Hantu, sekali lagi membawakan cerita rakyat menerusi persembahan seni. Kali ini dengan tajuk “Moonlit Blossom”, lorong itu sarat dengan pameran seni imersif di mana warisan, teknologi dan imaginasi digembleng sebagai satu persembahan menarik.
pic-2
Pameran seni yang diuruskan oleh Javier Chor, pengasas bersama Kwai Chai Hong dan berlangsung hingga 12 Okt depan, menterjemahkan semula kisah dongeng di sebalik Perayaan Kuih Bulan.
Legenda itu mengisahkan Wu Gang, seorang pemotong kayu, ingin hidup abadi dan meluahkan hasratnya kepada Maharaja Jed. Tidak senang dengan permintaan lelaki itu, Maharaja Jed menghantarnya ke bulan bagi menjalankan satu tugas: menebang pokok osmanthus dan hajatnya untuk hidup kekal abadi akan ditunaikan. Namun pokok itu bukan sebarang pokok - batangnya pulih sendiri setiap kali ditakik. Dikatakan hingga ke hari ini Wu Gang masih berada di bulan dengan kapak di tangan.
KONGSI KISAH DONGENG DENGAN ORANG MUDA
Kwai Chai Hong venue yang sempurna untuk meraikan budaya Cina kerana lokasinya, iaitu di belakang deretan rumah yang dibina sebelum perang di lorong berusia hampir seabad dinamakan Jalan Panggung di kawasan Jalan Petaling di sini. (Kwai Chai Hong diasaskan dan dipulihkan semula oleh syarikat pengurusan ruang Bai Cuan Management Sdn Bhd pada 2019.)
Hiasan utama Moonlit Blossom ialah bulan bercahaya di celah gantungan 100 tanglung bunga di Jambatan Merah ikonik Kwai Chai Hong.
Jika dilihat lebih dekat pada ‘bulan’ itu, terpampang gambaran cerita rakyat: Wu Gang gigih menebang pokok osmanthus dan di sisinya dewi kayangan Chang Er dengan temannya Arnab Jed yang menjaga bulan.
pic-3
Zeen Chang, pengasas bersama Kwai Chai Hong, berkata kisah Wu Gang memberi pengajaran bahawa kejayaan sebenar dan kesedaran memerlukan kesungguhan, pengorbanan serta usaha berterusan.
“Niat sahaja tidak memadai, seperti yang tergambar melalui perjalanan kami di Kwai Chai Hong. Moonlit Blossom mengingatkan kita agar memberikan tumpuan kepada pembentukan pengalaman bermakna dan inovatif. Kami berharap dapat memelihara keindahan bunga osmanthus dan berkongsi kisah dongeng masyarakat Cina dengan generasi akan datang,” katanya kepada Bernama.
TEKNOLOGI AR
Bagi meningkatkan lagi daya tarikan, Kwai Chai Hong menambah sentuhan digital menerusi kerjasama dengan studio kreatif pemenang anugerah Seeing Artelier, untuk membangunkan dua penapis realiti terimbuh (AR) yang boleh didapati di TikTok.
Dengan mengimbas kod QR di lorong tersebut, pengunjung dapat menyelami legenda Wu Gang – menyaksikan kepayahannya untuk menyelesaikan kerja yang mustahil itu atau mengagumi keindahan bunga osmanthus yang berguguran.
pic-4
Diterajui oleh pengasas Seeing Artelier, Wong Si Ying serta pereka gerakan utama Chia Yuan Hong, studio itu mentafsir semula mitos tersebut melalui gabungan seni dan teknologi
Chia dan Wong mengakui usaha membangunkan AR itu mencabar namun memberi kepuasan kepada mereka.
“Setiap perincian dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti bunga patut gugur di depan atau di belakang penonton, misalnya. Sebagai pereka, matlamat kami ialah menyampaikan cerita, tidak kira apa juga wadah yang digunakan,” jelas Wong.
Tambah wanita itu lagi, cabaran terbesar mereka ialah memenuhi jangkaan pengunjung.
“Kami mahu generasi muda khususnya dapat memahami kisah dongeng perayaan ini melalui AR. Kwai Chai Hong memberikan kami kebebasan untuk menzahirkan kreativiti kami dan ia menjadi satu pengalaman yang memberi kepuasan,” tambahnya.
pic-5
DRUM UP JB
Pameran dimeriahkan lagi dengan persembahan Drum Up JB!
Gabungan ensembel perkusi yang mengintegrasikan paluan gendang, pergerakan dan elemen teater bagi mencipta pengalaman deria yang mengasyikkan, Drum Up JB! diterajui oleh kumpulan dari Johor Bahru iaitu JB Drums dan Orang-Orang Drum Theatre (OODT).
Pada 28 Ogos lalu, para pengamal media berpeluang menyaksikan persembahan 10 minit oleh Drum Up JB! Mereka membuka persembahan dengan paluan “Gendang 24 Musim” yang menampilkan gabungan tradisi paluan kompang Melayu, perkusi India serta irama masyarakat peribumi Borneo.
pic-6
Menurut pengurus jelajah OODT Damien Leow, “Gendang 24 Musim” bermula di Johor Bahru pada 1988, diasaskan oleh Tan Chai Puan dan mendiang Tan Hooi Song.
Leow juga berkata persembahan itu diiktiraf secara rasmi pada 2009 di bawah Senarai Warisan Kebangsaan Malaysia sebagai “Objek Warisan Tidak Ketara”.
“Kami juga berbangga menyokong langkah kerajaan mencalonkan ‘Gendang 24 Musim’ untuk dimasukkan dalam Senarai Warisan Tidak Ketara 2026 UNESCO.
“Kami mahu memelihara dan mempromosikan persembahan Gendang 24 Musim sebagai warisan kebudayaan tidak ketara kebangsaan Malaysia,” katanya yang turut berharap Johor Bahru akan diiktiraf sebagai hab warisan budaya.
Pameran seni Moonlit Blossom dibuka kepada orang ramai setiap hari dari 9 pagi hingga 12 tengah malam, bermula 29 Ogos hingga 12 Okt. Maklumat terkini boleh didapati menerusi akaun media sosial Kwai Chai Hong di Facebook atau Instagram @kwaichaihong.”
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial