AM

Pelaksanaan E-Invois Rekod Transaksi Secara Telus Dan Moden - HASiL

03/09/2025 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) merupakan pendekatan digital untuk merekod transaksi secara telus dan moden, kata Pengarah Bahagian e-Invois, Sektor Operasi Cukai HASiL Dr Rasyidah Che Rosli.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan mendigitalkan ekosistem perniagaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Kalau dulu ada yang masih tulis tangan, ada juga yang berniaga bertahun-tahun tanpa simpan rekod. Dengan e-Invois, semua urusan lebih teratur dan moden,” katanya ketika menjadi tetamu program POV: Perspektif Bukan Persepsi bertajuk Bagaimana e-Invois Bantu PMKS di Bernama Radio semalam.

Menurutnya, sebagai sokongan, HASiL menyediakan dua platform percuma iaitu Portal MyInvois dan Sistem MyInvois e-POS bagi memudahkan pembayar cukai, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), melaksanakan e-Invois mengikut keperluan masing-masing.

“Kalau pelanggan majoriti perniagaan lain (B2B), sesuai guna Portal MyInvois sebab jumlah transaksi tidak terlalu tinggi. Tapi kalau pelanggan majoriti pengguna (B2C) seperti kedai runcit, jumlah transaksi memang tinggi, jadi lebih praktikal guna Sistem MyInvois e-POS,” katanya.

Katanya, sistem e-POS membolehkan penjual mengimbas barang, menerima bayaran dan mengeluarkan resit dengan kod QR. Sekiranya pelanggan memerlukan e-Invois, mereka hanya perlu mengimbas kod itu dan sistem akan menjana e-Invois secara automatik tanpa menjejaskan operasi harian.

Namun, Rasyidah menjelaskan sistem itu hanya ditawarkan kepada PMKS yang memenuhi syarat iaitu mempunyai jualan tahunan di bawah RM750,000, pemilik merupakan warganegara Malaysia dan perniagaan dijalankan dalam negara.

Beliau berkata fasa ketiga pelaksanaan e-Invois bermula 1 Julai lepas, melibatkan pembayar cukai berpendapatan antara RM5 juta hingga RM25 juta, manakala dua lagi fasa baharu akan diperkenalkan iaitu fasa keempat untuk pendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta, dan fasa kelima bagi pendapatan sehingga RM1 juta.

Untuk makluman, katanya, kerajaan telah menaikkan ambang jualan wajib e-Invois daripada RM150,000 kepada RM500,000, bermaksud peniaga dengan jualan tahunan di bawah jumlah itu dikecualikan.

“Namun, mereka digalakkan guna sistem ini secara sukarela untuk pengurusan rekod lebih baik serta membuka peluang akses pembiayaan perniagaan daripada institusi kewangan pada masa hadapan,” katanya.

Bagi perniagaan dalam talian, beliau berkata e-Invois tidak membebankan kerana urusan dikendalikan oleh platform e-dagang itu sendiri, namun peniaga perlu memastikan maklumat perniagaan dikemas kini.

“Buat masa ini, penyedia platform e-dagang luar negara belum tertakluk kepada pelaksanaan e-Invois di Malaysia. Jadi, peniaga yang berniaga melalui platform luar negara perlu keluarkan e-Invois sendiri,” katanya.

Mengulas aspek keselamatan, Rasyidah berkata sistem itu dibangunkan mengikut Dasar Keselamatan ICT HASiL serta garis panduan kerajaan berhubung keselamatan maklumat awan dan pengkomputeran.

“Ciri keselamatan termasuk enkripsi, pengesahan, firewall dan kawalan capaian turut dilaksanakan. Security Posture Assessment (SPA) juga dijalankan secara berkala dengan pihak ketiga, selain bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya sambil menambah bahawa data pembeli pula dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Untuk menyokong pembayar cukai, HASiL menyediakan pelbagai saluran bantuan termasuk laman mikro khas di www.hasil.gov.my/e-invois, kaunter perkhidmatan e-Invois di semua pejabat HASiL seluruh negara serta Meja Bantuan e-Invois di talian 03-8682 8000 yang beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan