SUKAN

KelSDeaf Perlu Dana RM100,000 Untuk Persiapan Sopma Ke-22

02/09/2025 11:33 PM

KOTA BHARU, 2 Sept (Bernama) -- Persatuan Sukan Orang Pekak Kelantan (KelSDeaf) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM100,000 bagi melakukan persiapan rapi menghadapi temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) ke-22 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada Oktober ini.

KelSDeaf dalam kenyataan hari ini memaklumkan kutipan dana itu bagi menampung kos latihan, kelengkapan atlet, pengangkutan, penginapan serta perbelanjaan penghantaran kontinjen.

“Dana ini amat penting untuk memastikan atlet pekak Kelantan dapat beraksi dengan persediaan terbaik di pentas kebangsaan.

“Penyertaan atlet pekak di Sopma bukan sahaja membuka ruang kepada pembangunan bakat dan potensi, malah menjadi simbol semangat kesukanan serta integrasi komuniti orang pekak dalam masyarakat arus perdana,” menurut KelSDeaf.

Kenyataan itu memaklumkan kontinjen Kelantan akan disertai 40 atlet dan pegawai dalam empat acara iaitu badminton, boling, futsal dan orienteering.

KelSDeaf memaklumkan kejayaan golongan istimewa itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa membuktikan kemampuan mereka yang wajar diberi perhatian serta sokongan padu.

“Sehubungan itu, KelSDeaf dengan rendah hati menyeru seluruh rakyat Kelantan, agensi kerajaan, badan korporat serta individu prihatin untuk bersama-sama menyumbang dan memberikan sokongan moral kepada kontinjen ini.

“Setiap sumbangan yang dihulurkan, besar atau kecil amat bermakna bagi mengangkat semangat atlet pekak negeri Kelantan,” katanya.

KelSDeaf turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan serta berharap usaha murni itu menjadi pemangkin semangat atlet untuk mengharumkan nama Kelantan pada Sopma ke-22.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Saiful Helmie turut bersama dalam menjayakan usaha itu dengan sesi diterjemahkan oleh Penolong Setiausaha Agung MSDeaf merangkap Jurubahasa Isyarat Mohamad Nazrul Azwa.

“Atlet anak jati Kelantan iaitu Mohd Faza Firdaus dan Nur Ain Shafira yang baru-baru ini mewakili Malaysia pada Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia turut menjadi inspirasi setelah berjaya meraih pingat perak dalam acara futsal lelaki dan wanita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan