SUKAN

Nova Dedah Rahsia Tang Jie-Ee Wei Jadi Juara Dunia

02/09/2025 01:32 PM

SEPANG, 2 Sept (Bernama) -- Komunikasi dan karakter seimbang menjadi kunci kejayaan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika menjulang gelaran juara dunia di Paris, Perancis, Ahad lepas 

Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata aspek itu yang membezakan mereka dengan pasangan lain yang sekadar memiliki kemahiran di gelanggang.

“Ramai pasangan lain ada kemahiran tetapi kalau komunikasi dan karakter tidak selari mereka tidak boleh jadi juara.

“Di Paris, Tang Jie-Ee Wei tunjukkan ketenangan selain keyakinan dan komunikasi yang sangat baik, itu kunci sebenar kemenangan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Nova yang juga bekas juara dunia dua kali berkata kejayaan anak buahnya itu tidak datang bergolek malah mengakui dirinya hampir berputus asa membimbing pasangan ranking keempat dunia tersebut.

“Sebagai jurulatih kita kena sabar tetapi sebenarnya saya pun pernah marah juga, hampir setiap kejohanan ada saja masalah.

“Bagaimanapun, ini memang tugas kita untuk beri semangat dan bimbing mereka, mungkin ini juga yang membuatkan Tang Jie-Ee Wei rasa bersyukur kerana walaupun ada masalah, saya tetap beri sokongan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu wanita Rosman Razak mengakui kejayaan anak buahnya, Pearly Tan-M Thinaah tidak terletak semata-mata kepada kelajuan dan pukulan strok mereka.

Beliau berkata sebaliknya faktor utama mereka mendapat pingat perak adalah kematangan yang ditampilkan dalam gelanggang.

“Dulu kalau permainan tak menjadi, emosi mereka akan terganggu dan permainan akan tenggelam tapi sekarang mereka berani menukar taktikal, mendengar arahan dan terus berjuang. Sama ada berhasil atau tidak itu perkara kedua, yang penting mereka bersedia memberikan segala-galanya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan