AM

ASCC Pacu Wawasan Komuniti ASEAN 2045 Berpaksikan rakyat

19/08/2025 12:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) akan berada di barisan hadapan dalam pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN (ACV) 2045 dengan memastikan transformasi pembanguan di rantau ini terus berpaksikan rakyat, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Beliau berkata ASCC yang mewakili ‘tunjang rakyat’ ASEAN menterjemahkan komitmen bersama kepada tindakan nyata untuk memperkasakan komuniti, mengukuhkan daya tahan serta memacu pertumbuhan inklusif di seluruh rantau berkenaan. 

“ASCC menzahirkan komitmen melalui tindakan, memperjuangkan masa depan rakyat yang bukan sekadar penerima manfaat, tetapi turut menjadi peserta aktif dalam membentuk pembangunan serantau.

“Ia sekali gus memastikan hasil usaha kolektif dapat dinikmati setiap kampung dan lapisan masyarakat,” katanya pada forum serantau Pelan Strategik ASCC di sini hari ini.

Turut hadir pada forum berkenaan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Duta Jepun ke ASEAN Kiya Masahiko.

Acara sehari itu menghimpunkan hampir 200 peserta termasuk pegawai kanan dari negara anggota ASEAN serta wakil kementerian, persekutuan dan negeri, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kao berkata Pelan Strategik ASCC terhasil melalui rundingan membabitkan kerajaan, masyarakat sivil, rakan pembangunan serta lebih 4,000 individu dari seluruh rantau itu, mencerminkan keutamaan dan aspirasi rakyat ASEAN termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan komuniti rentan.

“Cabaran yang kita hadapi daripada rantaian bekalan terkesan akibat pandemik sehingga kesan kepantasan perubahan iklim terhadap komuniti kita, tidak mampu ditangani secara bersendirian sebaliknya menuntut respons bersepadu. 

“Pendekatan kolaboratif ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi ASEAN. Mengambil kira pengalaman hasil penglibatan pelbagai pihak sejak berdekad dan pelaksanaan Pelan Induk ASCC 2025, pelan baharu ini mencerminkan evolusi dalam kaedah perundingan,” katanya.

Beliau menyentuh beberapa bidang tumpuan utama di bawah pelan itu termasuk daya tahan, inovasi, keterangkuman dan pembangunan mampan, ASEAN yang lebih hijau serta penyertaan lebih berkesan pihak berkepentingan.

Kao turut mengulas mengenai kepentingan kerjasama untuk menggerakkan agenda ASCC.

“Selama hampir enam dekad, ASEAN telah memanfaatkan perkongsian dan kerjasama untuk menggerakkan sumber serta kepakaran dalam menangani cabaran serantau sekali gus membuktikan keberkesanan tindakan secara kolektif berbanding bertindak bersendirian,” katanya.

Beliau berkata dalam mengorak langkah menuju masa hadapan ia memerlukan iltizam politik, sumber serta penglibatan aktif semua pihak berkepentingan bagi memastikan komitmen ASCC dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi rakyat ASEAN manfaat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan