AM

Tukar Minyak Hitam Motosikal Percuma Di PMR Terengganu 

10/07/2025 07:17 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Julai (Bernama) -- Pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) Terengganu 2025 berpeluang menukar minyak hitam motosikal secara percuma sepanjang penganjuran program itu di Pasar Kedai Payang, di sini, bermula hari ini.

Guru Kanan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) GiatMARA Marang, Sharudden Ishak berkata pihaknya menyasarkan perkhidmatan itu kepada 200 pemilik motosikal setiap hari, bergantung kepada masa dan kelancaran program.

Khidmat tersebut yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat itu, katanya, dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyediakan minyak hitam, manakala pelatih GiatMARA pula menyumbangkan kepakaran serta peralatan.

“Kami menyediakan enam tapak servis yang beroperasi serentak, dengan dua pelatih mengendalikan setiap motosikal. Ini bermakna seramai 12 pelatih terlibat secara aktif sepanjang tiga hari program ini,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi program, pagi ini.

Beliau berkata program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemilik motosikal, malah membuka ruang latihan praktikal kepada pelatih dan tenaga pengajar GiatMARA yang menawarkan program automotif di negeri ini, iaitu GiatMARA Marang, GiatMARA Hulu Terengganu dan GiatMARA Batu Rakit.

“Inilah peluang untuk mereka belajar bukan sahaja dari segi teknikal, tetapi juga aspek komunikasi dan layanan pelanggan. Ia menjadi medan latihan ke arah pembentukan kemahiran keusahawanan,” katanya yang turut memaklumkan bahawa pelatih juga didedahkan kepada pelbagai jenis motosikal dalam satu masa.

Sementara itu, seperti program PMR sebelum ini, inisiatif penukaran topi keledar oleh JPJ turut mendapat sambutan menggalakkan apabila orang ramai mula menyerbu khemah khas yang disediakan seawal pukul 8 pagi.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa Bahagian Keselamatan Jalan Raya JPJ, Shamima VPK Abdulla berkata sebanyak 3,000 unit topi keledar diperuntukkan untuk diagihkan secara percuma sepanjang tiga hari pelaksanaan PMR Terengganu.

“Sebanyak 1,000 unit topi keledar diagihkan setiap hari secara berperingkat pada sesi pagi dan petang, dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal terhadap penggunaan topi keledar yang memenuhi piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Topi keledar berpiawaian SIRIM telah melalui ujian ketahanan. Sekiranya berlaku kemalangan, ia boleh mengurangkan risiko kecederaan di kepala dan otak. Berbeza dengan topi keledar yang tidak mengikut spesifikasi, seperti jenis ‘kura-kura’ atau separuh, ia mudah pecah dan tidak memberikan perlindungan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, JPJ turut akan mengadakan sesi Pocket Talk mengenai keselamatan jalan raya bagi mendidik orang ramai tentang kepentingan pemakaian topi keledar berkualiti dan keperluan mematuhi undang-undang jalan raya.

Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu yang berlangsung selama tiga hari sehingga Sabtu ini menyasarkan kehadiran seramai 25,000 pengunjung, sejajar dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat.

Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, program itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan