DUNIA

AMM Ke-58: Integrasi Ekonomi Di Tengah-tengah Proteksionisme - Balakrishnan

10/07/2025 12:18 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 9 Julai (Bernama) -- Tema utama perbincangan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 pada Rabu yang memfokus kepada usaha memperkukuh integrasi ekonomi dalam kalangan negara anggota dan memperluas hubungan dengan rakan dialog menjadi lebih penting susulan peningkatan proteksionisme serta penghakisan multilateralisme.

Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan berkata keterjaminan tenaga dan perdagangan elektrik rentas sempadan turut menjadi keutamaan dalam perbincangan itu.

“Kami amat menantikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai Grid Tenaga ASEAN yang dipertingkat pada tahun ini serta kemajuan dalam Rangka Kerja Pembangunan Kabel Tenaga Dasar Laut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

MoU itu dijangka dimeterai oleh negara anggota ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga blok itu di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

Balakrishnan kini berada di Kuala Lumpur bagi menyertai AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.

Beliau juga berkata ASEAN sedang menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China yang akan dimeterai kemudian pada tahun ini.

Mengulas mengenai penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Oktober ini, beliau berkata Singapura akan terus memberi keutamaan kepada integrasinya menerusi sokongan pembinaan keupayaan dan bantuan pembangunan.

Balakrishnan turut memaklumkan bahawa para Menteri Luar telah mengesahkan sokongan mereka terhadap penyertaan Timor-Leste semasa mesyuarat pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara adalah penting kerana situasi di Myanmar masih kritikal.

Katanya semua pihak berkepentingan juga perlu terlibat dalam dialog bermakna bagi membantu menyelesaikan krisis itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan